Kekecohan Membangkit Minat Saya Memartabatkan Tulisan Jawi

19 08 2019

Pada mulanya saya tidak menyangka kekecohan berkaitan isu tulisan Jawi dan khat akan menjadi begitu panas dan berlarutan sampai begini.

Memberi peluang pelajar sekolah rendah mengenali dan mempelajari tulisan Jawi adalah satu usaha yang sangat baik untuk memastikan generasi muda tidak akan buta tulisan Jawi, iaitu tulisan asal Bahasa Melayu.

Perkara ini penting bukan hanya kerana tulisan Jawi merupakan khazanah berharga negara tetapi ianya penting dari segi akademik, lebih-lebih lagi dalam usaha mengkaji dan memahami sejarah negara kerana banyak dokumen lama ditulis dalam tulisan Jawi.

Namun malang sekali kerana sebaik sahaja perkara ini diumumkan, telah timbul berbagai bantahan daripada mereka yang mungkin kurang memahami betapa pentingnya tulisan Jawi kepada sejarah dan ketamadunan negara bangsa.

Antara yang lantang bersuara termasuklah badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong yang juga telah memulakan petisyen membantah perkara ini.

Dong Zong mendakwa langkah kerajaan untuk mengajar tulisan Jawi di sekolah ialah satu usaha ke arah “Islamisasi” dan ianya bercanggah dengan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan kerana memaksa seseorang untuk menyertai amalan agama lain; alasan dangkal ini dijawab oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di mana beliau melabelkan Dong Zong sebagai “rasis”.

Kekecohan ini telah menyedarkan saya tentang kekhilafan diri saya sendiri yang selama ini tidak berusaha menggunakan tulisan Jawi dalam kehidupan harian saya.

Saya boleh membaca teks Jawi tetapi masih tidak begitu mahir dalam mengeja dalam ejaan Jawi dan kini saya merasa bertanggungjawab untuk belajar dan berusaha menggunakan tulisan Jawi.

Sekarang, semasa kelas hadis mingguan yang saya hadiri, saya menulis nota menggunakan tulisan Jawi walaupun menghadapi masalah untuk mengeja dengan betul.

Maka, setelah pulang ke rumah saya akan menyemak semula tulisan saya dan memperbaiki ejaan yang salah.

Tulisan Jawi saya tidaklah cantik, dan saya masih bergantung kepada kamus Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta aplikasi atas talian yang mengubahkan tulisan Rumi kepada tulisan Jawi untuk merujuk ejaan Jawi yang betul.

Alhamdulillah, sudah semakin banyak ejaan Jawi yang telah saya tahu dan saya semakin dapat memahami konsep ejaan Jawi dengan lebih baik.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya bukan sahaja harus memartabadkan tulisan Jawi tetapi kini saya berasa malu kepada diri saya sendiri kerana saya tidak mahir menulis tulisan Jawi.

Saya tidak mahu menjadi rakyat yang hanya mengejar kejayaan material dan lupa akan asal usul budaya bangsa saya sendiri kerana kejayaan material semata-mata tidak akan dapat membina dan mempertahankan ketamadunan negara bangsa.








%d bloggers like this: