Jangan Jadi Remaja Tanpa Semangat Kenegaraan

[UTUSAN ONLINE}- Kita telah memasuki Bulan Kebangsaan dan menjelang tibanya Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-62 pada 31 Ogos 2019, setiap rakyat Malaysia perlu bertekad dan berusaha untuk mempupuk semula semangat patriotisme, terutamanya para remaja yang akan mewarisi negara yang bertuah ini.

Negara kita ditubuhkan pada tahun 1957 sebagai Persekutuan Tanah Melayu, dengan penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan termeterainya Pemasyhuran Kemerdekaan 1957.

Tak kenal maka tak cinta, semangat patriotisme tidak akan lahir dengan sendirinya tetapi perlu dipupuk daripada kesedaran dan pemahaman yang jelas tentang hal-hal kenegaraan dan penghayatan tentang sejarah negara bangsa.

Setiap warganegara Malaysia perlu ada semangat patriotisme atau perasaan cinta terhadap negara yang tertanam di dalam jiwa mereka agar lahir semangat kenegaraan yang jitu.

Negara kita dibina di atas Perlembagaan bertulis yang jelas dan mempunyai prinsip-prinsip dan asas negara yang mesti kita junjung tinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

Para remaja tidak boleh memandang remeh atau mengamalkan sikap tidak peduli akan hal sebegini kerana kita yang akan mencorakkan masa hadapan negara; jika kita leka, maka hancurlah negara bangsa.

Tanpa semangat kenegaraan yang teguh, tiadalah perasaan bangga dan hormat terhadap negara kita sendiri, dan hasilnya,

lenyaplah perasaan taat setia kepada Raja dan negara; bak cerita Si Kitol di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Perasaan taat setia kepada Raja dan negara akan melahirkan kesedaran dan memupuk sikap untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Justeru, kegagalan remaja menanam semangat patriotisme menjadikan mereka mudah tersasar daripada landasan yang sebenar, contohnya terpengaruh dengan ideologi anarkisme, liberalisme dan gerakan menuntut hak asasi manusia secara mutlak yang bertentangan dengan asas dan prinsip negara.

Tidak ada lagi sifat kesopanan dan kesusilaan bilamana remaja mula menjadi liar dan bertindak sesuka hati tanpa menghormati undang-undang dan kepimpinan negara.

Mereka gagal menghargai apa yang telah dan sedang mereka nikmati hasil daripada kemakmuran negara; sehinggakan akhirnya ada yang menjadi pembenci negara.

Ini membawa kepada kes di mana lebih kurang seribu warganegara Malaysia yang meninggalkan tanah air untuk menetap di United Kingdom, dan mereka bertindak biadap mengoyak pasport masing-masing dalam usaha mendapatkan kerakyatan di United Kingdom.

Setelah permohonan mereka ditolak, menjadikan mereka warga tidak bernegara yang terkandas di sana, mereka merayu, malah ada yang mendesak kerajaan Malaysia supaya menerima mereka kembali.

Lebih buruk lagi kini timbul kes-kes penghinaan ke atas Raja-Raja Melayu yang memayungi negara serta kes-kes penghinaan ke atas agama Islam iaitu agama bagi Persekutuan.

Begitu juga dengan kes remaja Malaysia yang dengan biadap bergambar memegang Jalur Gemilang yang diterbalikkan, malah ada juga yang sengaja memijak Jalur Gemilang sebagai tanda protes dan marah.

Sikap mementingkan diri sendiri serta tidak bertanggungjawab dan tidak taat kepada negara menggambarkan hilangnya semangat patriotisme dan jati diri sebagai anak bangsa, bukan sahaja pada diri mereka yang terlibat, tetapi juga kepada individu-individu yang menyokong perbuatan sumbang sebegini.

Dalam keadaan begini, para remaja bukan sahaja lebih mudah terjebak dalam perbuatan yang melanggar undang-undang, tetapi mereka juga tidak lagi setia kepada negara, kerana tiada lagi semangat kenegaraan di dalam diri mereka.

Ia ibarat menetap di satu dunia yang tidak ada negara, kerajaan, agama mahupun undang-undang, apatah lagi prinsip kemasyarakatan yang perlu diikuti; seperti dalam bait-bait lagu, ‘Imagine’ nyanyian John Lennon; “Imagine there’s no countries, …. And no religion too,” yang mengimpikan satu dunia yang bebas tanpa sempadan dan hidup dengan cara mereka sendiri.

Bermulalah titik runtuhnya ketamadunan yang akhirnya akan membawa kepada runtuhnya nilai kemanusiaan bilamana manusia memilih untuk hidup bebas tanpa sistem perundangan, baik undang-undang agama mahupun undang-undang negara.

Kehidupan remaja hari ini yang semakin mewah dan terdedah kepada pengaruh budaya hedonisme menjadikan mereka leka mencari keseronokan dan memilih cara hidup yang dibuai hiburan dan kesenangan semata-mata.

Ketidakpedulian para remaja untuk mendalami hal-hal kenegaraan khasnya Perlembagaan Persekutuan yang merupakan tulang belakang negara, Kontrak Sosial, jus soli dan pelbagai perkara lain termasuk sejarah negara adalah amat dikesali.

Setelah hampir 62 tahun negara kita dibina atas usaha, keringat, pengorbanan dan air mata nenek moyang dan pemimpin kita yang terdahulu, berapa ramaikah di antara para remaja yang mengambil inisiatif untuk membaca dan memahami dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan yang merungkai sejarah pembentukan negara bangsa?

Bagaimana dapat kita memahami siapa diri kita jika kita tidak mahu kembali kepada sejarah dan asas-asas negara?

Persekutuan Malaysia tidak tertubuh dengan sendirinya, dan sejarah Tanah Melayu telah bermula lama sebelum tarikh 31 Ogos 1957 dengan adanya kerajaan-kerajaan Melayu yang gah dan berdaulat dibawah pemerintahan Raja-Raja Melayu yang hebat di Tanah Melayu ini.

Memahami, mendalami dan menerima dengan jujur sejarah negara dan keupayaan menanam semangat patriotisme di hati kita menjadi faktor penting dalam memastikan rakyat Malaysia kekal bersemangat dan bersatu padu demi mendaulatkan negara bangsa.

Maka tidaklah lagi rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum bertelingkah di antara satu sama lain kerana menuntut hak mereka; sedangkan hak bagi semua kaum seperti yang telah dipersetujui di dalam Kontrak Sosial, telah jelas tertulis di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan diperjelaskan lagi di dalam peruntukan-peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Para remaja perlu berusaha menanam semangat patriotisme yang kuat dalam diri masing-masing dan berusaha agar semangat itu tumbuh segar dan teguh di jiwa kita semua, seteguh pohon jati yang tumbuhnya tinggi, besar dan gagah.

Advertisement

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: