Pengaruh Rakan Sebaya Dalam Pembentukan Sahsiah Remaja

31 07 2019

[UTUSAN ONLINE}- Teman mencerminkan diri kita. Bukan sahaja kita secara semula jadi memilih teman yang sesuai dengan nilai hidup kita tetapi teman-teman juga banyak mempengaruhi diri kita dalam memilih cara hidup dan cara kita menilai kehidupan.

Kajian mendapati bahawa perkembangan emosi, sosial dan rohani dalam membentuk keperibadian kanak-kanak dan remaja dipengaruhi oleh persekitaran, khasnya individu-individu yang rapat dengan kita.

Di dalam suasana kehidupan sekarang, di mana golongan remaja secara umumnya menghabiskan lebih banyak waktu bersama teman-teman berbanding daripada bersama keluarga, pengaruh teman sebaya memainkan peranan yang besar dalam pembentukan sahsiah diri remaja.

Para remaja bukan hanya bergaul bersama-sama teman sebaya ketika di sekolah, tetapi mereka juga meluangkan masa bersama-sama di luar waktu persekolahan; sama ada untuk bersukan, belajar bersama-sama dalam kumpulan study group atau melakukan berbagai lagi aktiviti lain.

Sewaktu cuti sekolah pula ada dalam kalangan remaja yang mengikuti rombongan lawatan sambil belajar anjuran sekolah, keluar menonton wayang, membeli-belah dan lain-lain bersama teman-teman mereka.

Kini bukan lagi menjadi perkara asing di dalam masyarakat kita, apabila remaja keluar bersosial bersama teman-teman tanpa ditemani keluarga; malah golongan yang tidak mempraktikkan amalan sedemikian pula yang dianggap asing.

Maka pemilihan teman yang tepat adalah amat penting dalam memastikan pembentukan sahsiah diri yang terpuji; kerana pergaulan remaja dalam lingkungan yang salah berkemungkinan boleh merosakkan kehidupan mereka.

Konsep kebebasan cara Barat menuntut remaja diberikan kebebasan dan sesetengah remaja beranggapan bahawa kawalan ibu bapa adalah bercanggah dengan cara hidup moden.

Apabila tiada lagi kawalan dan remaja bebas bergaul dengan sesiapa sahaja serta bebas berkeliaran di sekitar pekan dan bandar, ia juga akan membuka pintu kepada pengaruh-pengaruh negatif dalam mempengaruhi kehidupan remaja.

Ini ialah kerana remaja cenderung untuk mudah terpengaruh dengan nilai-nilai dan budaya hidup di sekeliling mereka, sama ada nilai yang baik mahu pun nilai yang buruk.

Kecenderungan ini boleh membawa kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja yang terlibat, yang kemudiannya mereka pula yang akan mempengaruhi teman-teman mereka yang lain.

Malah ada teman-teman sebaya yang memaksa dan menekan remaja yang asalnya baik dan tidak bermasalah, untuk melakukan perkara-perkara negatif lazimnya bermula dengan perkara-perkara yang tidak terlalu serius. Lama-kelamaan mereka akan menjadi lebih berani untuk mencuba perkara yang lebih buruk.

Mungkin ianya bermula daripada kesalahan seperti memanjat pagar sekolah dan kemudiannya beralih pula kepada kesalahan yang lebih serius seperti menipu, menghisap vape, merokok, mencuri, mengambil dadah dan sebagainya.

Remaja juga sering menjadi mangsa buli oleh teman sebaya; dan tidak kiralah sama ada mangsa dibuli secara fizikal atau pun secara siber, kes buli boleh mengakibatkan kecederaan fizikal dan emosi yang parah sehingga mengakibatkan kematian dan kes membunuh diri.

Ramai mangsa buli yang tidak diberi rawatan kerana mereka tidak mengadu atau kerana ianya tidak mengakibatkan kecederaan fizikal. Namun kesan emosi yang ditanggung mangsa buli boleh mengakibatkan tekanan perasaan dan dalam banyak keadaan mangsa buli berkemungkinan akan menjadi pembuli jika masalah emosi mereka tidak dirawat.

Masalah tekanan dari teman sebaya atau peer pressure seringkali menekan remaja tetapi kurang diberi perhatian oleh golongan dewasa, baik ibu bapa mahu pun guru-guru, mungkin kerana kesannya tidak berbentuk kecederaan fizikal.

Remaja yang terjebak dalam masalah ini akan kurang keyakinan diri, mudah dipergunakan dan gagal membina jati diri akibat terikut-ikut dengan pengaruh sekeliling sehingga sanggup melakukan perbuatan negatif termasuk mengambil minuman keras, berjudi, terjebak dalam budaya LGBT, menerima ideologi anarkisme dan sebagainya.

Konsep gaya hidup atau lifestyle adalah penyakit yang relatifnya agak baharu di mana remaja yang dijangkiti penyakit ini akan terperangkap di dalam kehidupan yang penuh kepura-puraan dan menjadi insan yang hanya mementingkan kehidupan yang bersifat materialistik semata-mata kerana mereka mahu dipandang hebat, diterima dan dihormati oleh teman-teman sebaya.

Justeru, kita mesti kembali kepada fitrah dan hidup berpadukan adat yang bersendikan syarak. Jangan kita menjadi seperti lalang ditiup angin; ke mana angin yang deras, ke situ condongnya.

Perhatian, panduan dan bimbingan amat penting dalam memastikan remaja tidak tersasar daripada landasan yang betul dan tidak mudah dipengaruhi oleh unsur yang negatif serta berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sahsiah diri yang terpuji dan jati diri yang tinggi.

Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah.

Ali Karim merupakan seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang juga merupakan pemerhati lanskap politik tanah air. Dia juga merupakan Duta Rasmi Muafakat Pendidikan Johor (MPJ), sebuah Persatuan Guru di Johor. Pandangan dan tulisannya boleh dibaca melalui ahmadalikarim.wordpress.com.

Advertisements

Actions

Information

One response

2 08 2019

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.




%d bloggers like this: