Ramai pemerhati politik meramalkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan parti PKR jika pergeseran beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat diselesaikan.
Namun, apabila Utusan Online melaporkan beliau dijangka akan menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), dalam jangka masa terdekat, ianya telah menjadi satu berita yang menggemparkan kerana selama ini ramai pemerhati menjangkakan beliau akan menyertai parti PPBM yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.
Dalam laporan yang sama, Utusan Online juga menyebut:
Sumber berkata, setakat ini pemimpin PKR yang mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu masih berbincang dengan pemimpin Gerakan.
Utusan Online (Azmin tinggalkan PKR, sertai Gerakan?)
Isu ini menjadi semakin hangat setelah beberapa media utama melaporkan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai memperakui bahawa beberapa orang pemimpin PKR dan pemimpin NGO telah menemui beliau untuk berbincang tentang perkara tersebut.
Malah Naib Presiden dan Setiausaha Agung Gerakan telah membuat kenyataan mereka seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian:
Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, parti itu mengucapkan selamat datang kepada Timbalan Presiden PKR itu sekiranya mahu bersama Gerakan.
Sinar Harian (Gerakan terima Azmin dengan tangan terbuka)
Dan di bawah tajuk yang sama, Sinar Harian juga melaporkan:
Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk G Parameswaran pula berkata, parti itu mampu ‘bangkit semula’ jika benar Mohamed Azmin menyertai parti tersebut.
Sinar Harian (Gerakan terima Azmin dengan tangan terbuka)
Menariknya, pada masa yang sama, pemimpin PKR bertindak menafikan berita ini, malah ada pemimpin PKR yang menegaskan bahawa Azmin tidak akan meninggalkan parti itu.
Bagi saya, hanya masa yang akan mementukan sama ada benar atau tidak berita bahawa Timbalan Presiden PKR itu akan berpindah ke parti lain.
Saya lebih berminat untuk meneliti kenapa parti Gerakan yang dipilih atau antara yang menjadi pilihan, jika laporan ini benar.
Mungkin ada yang mempertikaikan pemilihan ini, namun memandangkan parti Gerakan kini sedang berada dalam keadaan yang sangat lemah setelah kalah semua kerusi yang ditandingi mereka semasa Pilihan Raya Umun yang lalu, saya kira ini adalah satu langkah yang strategik.
Parti Gerakan juga kini bersendirian setelah meninggalkan Barisan Nasional.
Jika Datuk Seri Azmin menyertai parti Gerakan, ianya bukan sahaja dapat memberi nafas baru kepada parti tersebut, tetapi juga menjadikan parti Gerakan lebih besar kerana sudah tentu pengikut setia Timbalan Presiden PKR itu akan turut berpindah bersama-sama beliau.
Dalam keadaan ini, Datuk Seri Azmin berada pada keadaan yang lebih baik untuk mendapatkan kedudukan yang lebih tinggi di dalam parti berbanding jika beliau berpindah ke parti PPBM.
Malah dari segi logik, Datuk Seri Azmin memang memerlukan sebuah parti baru yang konsepnya berbilang kaum, memandangkan terdapat pemimpin bukan Melayu yang dikatakan berada dalam ‘kem Azmin’; maka keadaan akan menjadi agak sukar jika beliau memilih PPBM kerana beliau tentunya memerlukan sokongan mereka untuk melangkah lebih jauh.
Dari sudut yang berbeza, jika Datuk Seri Azmin berjaya membawa ramai pengikutnya berpindah bersama-samanya, ianya berkemungkinan boleh memberi tekanan ke atas dasar, prinsip dan ideologi parti Gerakan; jika kedua-dua pihak mempunyai pandangan politik yang berbeza.
Perkara sebegini harus diberi perhatian oleh remaja seperti saya, memandangkan jika PRU 15 berlangsung selepas tahun 2021, kemungkinannya sebahagian daripada kami akan layak mengundi.
Maka demi #Undi18, remaja mesti lebih fokus akan isu semasa dan menjadi celik politik.
17 thoughts on “Gerakan Lebih Sesuai Untuk Azmin Berbanding PPBM? – Satu Analisa”