Raja Melayu Payung Negara

24 07 2019

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda yang kini kurang menghargai nilai sejarah negara bangsa dan menganggapnya tidak lebih daripada sekadar satu mata pelajaran di sekolah dan bukannya sesuatu yang bernilai dan harus dihargai.

Sejak zaman kerajaan Srivijaya dan kerajaan Kedah Tua, sehingga kepada kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan seterusnya sampai kepada hari ini, Tanah Melayu yang bertuah ini diperintah oleh Raja-Raja Melayu berdaulat yang telah berjaya membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negara bangsa.

Akibat buta sejarah, ada dalam kalangan kita yang tidak lagi menghormati dan menghargai sistem diRaja yang selama ini telah memayungi negara serta melindungi rakyat jelata.

Kini telah lahir golongan yang tanpa segan silu menuduh sistem dan Institusi diRaja sebagai satu sistem feudal yang tidak lagi relevan di zaman moden ini.

Sehinggakan telah pun bangkit golongan yang bukan sahaja berani memfitnah, menghina dan menyebarkan kebencian terhadap Raja-Raja Melayu, malah berusaha menghapuskan sistem diRaja, dengan fitnah kononnya Raja-Raja Melayu bukan sahaja tidak memberi apa-apa manfaat, malah menyusahkan rakyat.

Fahaman anarkisme sebegini semakin hari semakin merebak di Malaysia akibat sikap masyarakat yang mengagungkan kebebasan serta ketidak prihatinan masyarakat akan sejarah dan prinsip-prinsip asas negara.

Hasilnya, timbul salah tanggapan dan kekeliruan di kalangan rakyat jelata tentang sejarah pengobanan dan kepentingan institusi diRaja; di mana mereka sebenarnya tidak tahu dan tidak faham tentang peranan Raja-Raja Melayu di negara ini.

Setelah British tiba di Tanah Melayu pada tahun 1771 untuk mengembangkan kuasa dan kawasan jajahannya, mereka berjaya menjadikan Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat sebagai kawasan jajahan takluk Mahkota British.

Seterusnya, pihak British telah cuba untuk menjajah kerajaan-kerajaan Kesultanan Melayu berdaulat yang lain di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Namun, tipu helah British dalam usaha menjajah keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu berjaya dikesan oleh kesembilan Raja-Raja Melayu yang berkuasa lagi bijaksana.

Maka untuk mengelakkan daripada jatuhnya keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu ke tangan British, Baginda Raja-Raja Melayu bertindak membuat satu keputusan yang amat penting.

Demi memelihara dan mendaulatkan kedudukan Islam dan orang Melayu iaitu Rakyat Raja di Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu telah membuat keputusan untuk bersekutu sebagai sebuah negara baharu yang lebih kuat dan teguh.

Keputusan ini bukannya satu keputusan yang dibuat dengan mudah, kerana pengorbanan di sebaliknya amatlah besar, di mana Raja-Raja Melayu telah mengorbankan kuasa multak baginda ke atas negeri-negeri baginda.

Jika tidak kerana kebijaksanaan dan pengorbanan Raja-Raja Melayu, negara kita tidak akan menjadi sebuah negara yang bersekutu tetapi sebaliknya menjadi negara-negara kecil yang berasingan dan mungkin masih di bawah naungan British.

Menurut pakar Perlembagaan, Prof Dr. Shamrahayu Abdul Aziz: “Persekutuan (Malaysia) asalnya tidak mempunyai apa-apa, tiada tanah atau kekuasaan; Persekutuan terbentuk atas tanah dan kekuasaan dan kedaulatan negeri”.

Banyak peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan memperincikan kepentingan serta kedudukan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di dalam sistem pemerintahan negara.

Perkara ini amat penting sebagai langkah check and balance kepada keputusan pimpinan politik negara yang dipengaruhi oleh dasar parti dan untuk memancing undi; berbanding kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang tentunya lebih tinggi daripada kedudukan dan jawatan politik.

Menurut Perkara 3(2) dan 3(3) Perlembagaan, Raja-Raja Melayu merupakan ketua agama Islam di negeri-negeri baginda sementara Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja.

Perkara ini ditegaskan lagi oleh Perkara 37 Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsi baginda, mengangkat dan menandatangani Sumpah Jawatan seperti yang termaktub di dalam Bahagian I, Jadual Keempat Perlembagaan di mana baginda bersumpah di atas nama Allah dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” untuk memelihara pada setiap masa agama Islam.

Baginda juga adalah tonggak perpaduan kaum di mana baginda memikul bertanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan.

Hasil daripada legasi pengorbanan dan perjuangan Baginda Raja-Raja Melayu sejak zaman dahulu, kini kita boleh menikmati kehidupan yang aman dan damai di dalam satu negara bangsa yang dinamakan Persekutuan Malaysia.

Maka, menjelang pertabalan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal berlangsung pada 30hb Julai 2019, ada baiknya kita renungi dan belajar menghargai jasa dan pengorbanan Raja-Raja Melayu sepanjang sejarah negara kita.

Jangan sampai kita menjadi seperti kacang lupakan kulit atau lebih teruk, ibarat diberi susu, tuba dibalas. – UTUSAN ONLINE

Ali Karim merupakan seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang juga merupakan pemerhati lanskap politik tanah air. Dia juga merupakan Duta Rasmi Muafakat Pendidikan Johor (MPJ), sebuah Persatuan Guru di Johor. Pandangan dan tulisannya boleh dibaca melalui ahmadalikarim.wordpress.com.

Advertisements

Actions

Information

One response

30 07 2019

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.




%d bloggers like this: