Saya meminati tulisan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, dan saya kagum dengan kehebatan beliau di bidang undang-undang serta kesungguhan beliau berkongsi ilmu sehingga ke hari ini.
Membaca tulisan Tun Hamid telah membantu saya memahami banyak perkara berkaitan undang-undang.
Ianya juga banyak membantu saya memahami dengan lebih mendalam kes-kes mahkamah daripada sudut pandangan seorang yang sangat arif di bidang perundangan negara.
Setelah agak lama saya tidak singgah di laman blog Tun, baru-baru ini saya amat terkejut dan hampir tidak percaya apabila membaca nama saya disebut di dalam sebuah teks tulisan beliau, “Jawapan Kepada Semua Pengkritik Saya” yang bertarikh 25hb Februari 2019.
Dan apa yang membuatkan saya sangat teruja ialah apabila Tun Hamid memetik kata-kata saya yang telah saya tulis pada ruangan komen di laman blog Helen Ang dengan kata-kata, “…ia patut dipetik kerana kematangannya” seperti keratan di bawah:

Amat sukar saya gambarkan perasaan saya ketika pertama kali membaca apa yang saya anggap sebagai satu penghargaan yang begitu besar daripada seorang tokoh yang amat saya hormati, saya merasa ‘over the moon’ dan terpaksa membacanya berkali-kali untuk memastikan yang saya tidak bermimpi.
Saya tidak pernah terfikir bahawa nama saya akan disebut oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara yang tidak pernah saya temui dan menganggap komen Tun Hamid sebagai penghargaan dan pengiktirafan yang amat bererti, juga sebagai perangsang untuk saya berusaha dengan lebih gigih demi mencapai cita-cita saya.
Sebagai jawapan kepada, “Jika ia ditulis oleh orang lain, orang dewasa, sekalipun ia patut dipetik kerana kematangannya“, saya telah menulis sendiri komen tersebut untuk menyatakan pendapat saya berkenaan isu yang dibangkitkan.
Sebenarnya komen yang saya tulis di dalam bahasa Inggeris itu telah disiarkan di laman blog Helen Ang, seorang penulis blog terkenal dan sangat disegani pada tahun 2014, ketika itu saya berumur 11 tahun.
Ketika itu, saya fokus menulis di dalam bahasa Inggeris kerana penguasaan perkataan (vocabulary) bahasa Melayu saya belum begitu baik untuk menghasilkan penulisan yang boleh saya kongsikan di blog saya.
Tulisan Aunty Helen berkenaan ucapan Tun Hamid itu amat menarik minat saya kerana pada masa itu saya telah mula menulis artikel berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, satu bidang yang sangat saya minati.
Sememangnya sejak daripada kecil kami empat adik beradik telah dididik oleh kedua ibu bapa kami untuk belajar berfikir, bertanya, memahami, mengulas, menganalisa serta berbincang tentang berbagai perkara.
Sejak dari kecil, ibu sebagai guru saya adalah tempat rujukan saya apabila saya menghadapi masalah dalam memahami sesuatu perkara, malah ibu masih menjadi tempat rujukan saya sehingga sekarang.