GENAP setahun berlalu sejak perginya ayahanda saya, Hj. A. Karim Omar pada 28hb Jun 2018. Setahun yang amat sukar dan memeritkan. Bukan sahaja saya rindukan arwah ayah dan hilang tempat bergantung tetapi terpaksa menghadapi satu demi satu cabaran dan tekanan yang melanda secara bertubi-tubi. Namun, Alhamdulillah, Allah S.W.T. telah memberi saya kekuatan dalam meneruskan hidup walaupun terlalu banyak rintangan yang mendatang.
Inilah ranjau kehidupan kita selagi bergelar manusia. Hidup setiap insan di dunia ini pasti menempuh ombak dan badai, tanpa mengira bagaimana hebat sekali pun insan itu. Walau sesiapapun kita, sampai saatnya pasti kita akan diuji.
Kehidupan kami berubah sejak ketiadaan ayah. Banyak perkara yang menyedihkan dan melukakan hati telah berlaku. Mungkin dengan cara menulis, dapat saya leraikan kekusutan dan kesedihan di hati saya. Walaupun begitu berat dugaan menimpa, saya berdoa dan berazam akan tetap istiqamah menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh Allah S.W.T. sebagai wali keluarga saya selagi mana saya mampu.
Masih segar di dalam ingatan saya, ketika saya dikejutkan oleh ibu pada lebih kurang pukul 4 pagi setahun yang lalu. Ketika itu saya, ibu dan ketiga-tiga kakak saya berada bersebelahan bilik ICU kerana kami tidak mahu berjauhan daripada ayah ketika ayah dalam keadaan yang tenat.
Apabila terjaga, saya sudah dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Doktor memberitahu kami bahawa ayah akan pergi dan kami dibenarkan berada di sisi ayah di bilik ICU. Empat jam kemudian, ayah telah pergi meninggalkan kami. Saya telah kehilangan ayah dan hilang tempat bergantung.
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana ayah pergi dengan tenang dan dengan izin Allah S.W.T, kami sekeluarga berada di sisi ayah sehingga ke saat arwah ayah menghembuskan nafas yang terakhir.
Alhamdulillah, kami telah memilih untuk tidur di hospital selama ayah berada di sana. Oleh kerana kami berada di hospital, Allah berikan rezeki masa yang lebih lama berada di sisi ayah untuk kami bersedia menghadapi saat berpisah buat selama-lamanya, walaupun empat jam itu cuma bagaikan empat puluh minit bagi saya.
Itulah empat jam yang paling berharga dan paling mencabar dalam hidup saya. Segalanya berlaku dengan begitu pantas. Namun saya redha dengan pemergian ayah.
Benar kata orang tua, kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah didapati. Kita disayang ketika kita berada tetapi apabila kita susah, kita disisihkan.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Baru empat jam arwah ayahanda meninggal, saya masih dalam keadaan terpingga-pingga dengan pemergian ayah apabila saya ditinggalkan di masjid oleh orang yang sepatutnya menumpangkan saya ke tanah perkuburan. Van jenazah sudah bertolak dah masjid sudah lengang. Dan orang yang berjanji untuk menumpangkan saya ke tanah perkuburan sudahpun hilang entah ke mana dan saya ditinggalkan bersendirian. Ibu dan kakak-kakak tidak bersama saya kerana kami dibahagikan menumpang kereta yang berbeza.
Pilu, takut dan risau tidak dapat ke pusara ketika arwah ayah akan dikebumikan. Saya tidak dapat menghubungi ibu kerana telefon saya di tangan kakak. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu dan ianya masih menghantui saya.
Saya cuba mengejar rombongan kereta yang mengikuti van jenazah kerana saya tidak tahu nama dan di mana letaknya tanah perkuburan yang dipilih oleh pak cik. Mujurlah sahabat rapat arwah ayah ternampak saya. Beliau menyapa saya kerana hairan saya masih di masjid yang telah lengang ketika jenazah ayah sudah dibawa ke pusara. Alhamdulillah, apabila mendapat tahu saya telah ditinggalkan dan mahu berjalan kaki ke kubur kerana tiada kenderaan, beliau terus membawa saya menaiki keretanya.
Rupanya itu baru permulaan. Tidak pernah saya menyangka, setelah perginya ayah, kami akan diperlakukan sebegini rupa. Hak kami dipertikaikan dan fitnah dilontar sesuka hati oleh mereka yang kami kenali termasuk fitnah ke atas arwah ayah yang telahpun meninggal dunia. Yang paling menyedihkan dan mengecewakan saya ialah ramai insan yang lebih suka mempercayai dan menyambung fitnah daripada mencari kebenaran.
Lebih menyedihkan ialah di saat saya merayu memohon pertolongan, saya disuruh berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain. Semasa kecil saya diajar bahawa air dicincang tidak akan putus. Tetapi nampak gayanya apabila saya hilang tempat bergantung diri saya yang dicincang.
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana disebalik yang membenci, masih ada mereka yang mengasihi, mengingati dan prihatin akan nasib kami. Banyak kata-kata nasihat yang diberikan kepada saya supaya saya lebih cekal dalam menghadapi dugaan hidup. Benar, kata-kata orang tidak akan memburukkan keadaan kerana ia hanya kata-kata. Saya cuba menutup telinga dan belajar untuk tidak terasa dengan fitnah yang dilontar terhadap saya.
Namun, tentunya amat sukar untuk mengenepikan fitnah terhadap ayahanda yang telah tiada. Juga tentunya amat sukar untuk mengenepikan fitnah terhadap ibunda yang melahirkan dan menjaga kita sejak kecil, lebih-lebih lagi yang berkorban menjaga dan memberi makan kami adik beradik setelah ayahanda pergi meninggalkan kami. Saya hairan bagaimana begitu senang mereka mengeluarkan kata-kata sebegitu.
Mungkin seperti biasa saya dianggap salah faham kerana berada di dalam keadaan beremosi selepas perginya ayahanda tersayang. Mungkin sepertimana mereka kata, saya terlalu banyak berfikir padahal sebenarnya tindakan meninggalkan saya keseorangan di masjid itu ialah satu keputusan yang terbaik untuk mengajar saya erti berdikari dan perbuatan menfitnah kami sekeluarga termasuk arwah ayah saya juga merupakan perbuatan yang betul.
Saya cuba sedaya upaya untuk menghadapi segala tekanan ini dan Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T. saya diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan saya, masih dapat saya menulis di laman blog saya dan masih dapat saya meneruskan perjuangan saya. Alhamdulillah, walaupun amat getir, telah dapat saya bertahan selama setahun; dan saya doakan agar saya dapat lebih kuat untuk menghadapi cabaran ini untuk tahun-tahun seterusnya.
Ahmad Ali Karim
28/06/2019

Assalamu’alaikum. Banyakkan bersabar anakku. InsyaAllah Allah bersamamu. Sudah lama saya bookmark blog anakku. Saya dapati anakku cepat matang berbanding usia yang muda. Tulisan dan artikel anakku memang ilmiah dan menarik perhatian saya. Saya doakan anakku dan keluarga sentiasa dalam perlindungan dan pertolongan Allah. InsyaAllah anakku akan menjadi seorang yang penting suatu masa nanti untuk agama, bangsa dan negara.
insan yang dhaif lagi mengharap redha Allah,
badrul munir bin jaffar
Selangor
LikeLike
Waalaikumussalam, semoga tuan sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah S.W.T..Alhamdulillah. Aamiin, insyaAllah. Terima kasih, tuan kerana mengikuti laman blog saya dan menyokong perjuangan saya selama ini. Saya mohon doa agar saya sentiasa istiqamah ke arah perjuangan demi mendaulatkan kepada agama, bangsa dan negara.
LikeLike