Tenggelam Dalam Keasyikan Media Sosial

30 06 2019

Alhamdulillah, tulisan saya mengenai remaja dan media sosial telahpun diterima dan disiarkan di akhbar perdana, Utusan Online. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia, kerana ini merupakan kali pertama tulisan saya disiarkan di sebuah akhbar perdana. Juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu saya, guru saya Profesor Datuk Dr Sidek Baba, dan guru-guru saya yang lain yang telah membimbing saya selama ini, serta pihak Utusan Malaysia.


Kita kini berada pada zaman di mana teknologi berkembang dan tersebar dengan begitu pantas. Kemunculan pelbagai alat peranti pintar seperti telefon pintar, tablet dan lain-lain telah membawa kepada perkembangan pesat media sosial.

Sehinggakan pada hari ini, agak sukar untuk kita mencariremaja yang tidak pernah mendengar perkataan Facebook, Twitter, WhatsApp atau Instagram; iaitu di antara laman dan aplikasi media sosial yang sangat popular dan berpengaruh.

Kini media sosial menjadi suatu alat komunikasi dan platform perkongsian yang amat efektif dan penting. Sebagai contoh, amaran bencana alam boleh dihebahkan kepada umum dalam masa yang singkat dan menyeluruh agar tindakan segera boleh diambil oleh semua pihak yang terbabit.

Begitu juga hubungan keluarga terasa lebih dekat walaupun tinggal berjauhan dengan adanya aplikasi WhatsApp, Twitter dan laman media sosial lain yang bukan sahaja mudah digunakan tetapi juga jauh lebih murah berbanding caj panggilan telefon.

AHMAD ALI KARIM

Namun media sosial juga mempunyai kesan negatif yang bukan hanya boleh merugikan penggunanya, malah boleh menimbulkan kekacauan dan huru hara dalam kalangan masyarakat, contohnya akibat penyebaran fitnah dan berita palsu.

Malangnya, ramai remaja yang tidak menyedari akan kesan buruk media sosial sehingga merugikan diri sendiri akibat membuat keputusan yang tidak bijak.

Kalau dahulunya remaja sering lepak bersama kawan-kawan, kini media sosial menjadi teman setia dan teman lepak mereka. Malah ramai yang terlalu taksub dengan penggunaan media sosial sehingga wujud satu ketergantungan kepada media sosial, di mana mereka merasakan seolah-olah tidak boleh hidup dengan bahagia tanpanya.

Antara faktor penyumbang kepada keadaan ini ialah gaya hidup atau ‘lifestyle’ yang mereka rasakan sebagai satu tuntutan hidup supaya mereka dipandang hebat, diterima dan dihormati oleh kawan-kawan sebaya.

Capaian internet yang baik dan adanya kafe siber kepada mereka yang tidak mempunyai telefon pintar juga menjadi faktor pemangkin kepada keadaan ini.

Facebook adalah antara laman media sosial yang paling popular dan berpengaruh dalam kalangan remaja sehinggakan ramai sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan‘likes’ yang banyak dan bilangan rakan Facebook yang ramai.

Facebook juga sangat mudah diakses; cipta sahaja satu akaun dalam Facebook dan pengguna boleh terus memuat naik tulisan, gambar, video dan sebagainya di samping dapat menikmati apa sahaja yang dihidangkan di laman ini.

Ia begitu mengasyikkan sehingga ramai pengguna bagaikan hanyut dan tenggelam ke dalam kolam perangkap alam maya ini sehingga boleh menghabiskan masa seharian menonton video-video popular atau apa sahaja yang terpapar di suapan berita mereka.

Ramai yang terpengaruh dengan apa sahaja yang dipaparkan dalam media sosial dan tidak kurang pula tidak mahu ketinggalan memuat naik gambar dan video yang serupa agar dilihat menepati cara hidup moden serta dipandang hebat dan bergaya.

Mereka juga mahu memiliki pakaian yang mahal dan berjenama, makan di restoran yang popular, bercuti ke sana-sini supaya dapat dipaparkan di media sosial.

Ada yang sanggup membuat apa sahaja aksi sensasi yang dirasakan boleh menarik perhatian pengguna media sosial lain tanpa mengambil kira batas akidah dan kesopanan.

Mereka juga sanggup mempertaruhkan nyawa dengan berswafoto di tempat yang merbahaya semata-mata untuk mendapat perhatian di samping berlumba-lumba mengambil bahagian di dalam berbagai cabaran internet yang berisiko tinggi.

Sikap bermegah-megah dan menonjolkan kekayaan dalam media sosial juga telah banyak mengundang padah apabila terjadi kes-kes rompakan setelah video tersebut dimuat naik di media sosial.

Dari sudut yang lain, ramai remaja tertipu dan kerugian wang ringgit kerana mempercayai mesej yang menjanjikan keuntungan berganda daripada modal yang rendah setelah terpengaruh dengan video yang memaparkan kekayaan pengusahanya.

Dewasa ini, masalah buli siber dalam kalangan remaja bertambah buruk sehingga menyebabkan banyak kes membunuh diri dan cubaan membunuh diri akibat tekanan perasaan kerana tidak tahan dibuli.

Selain daripada masalah ini, kemurungan dan kekosongan hidup juga menjadi penyebab cubaan membunuh diri dalam kalangan selebriti media sosial termasuk mereka yang dilihat sangat berjaya dan popular.

Pengaruh media sosial terhadap remaja amat hebat sehinggakan mereka mempercayai apa sahaja yang disiar oleh media sosial, termasuk berita palsu dan ajaran sesat.

Malah, ada remaja yang lebih mempercayai kata-kata di media sosial daripada ibubapa mereka sendiri. Hal ini amat merisaukan kerana kini media sosial boleh dijadikan senjata yang amat berkesan untuk menyesatkan remaja.

Sikap sebegini menjadikan remaja tidak mampu untuk berfikir secara kritis dan menganalisa sesuatu perkara dengan bijak.

Hidup di alam maya dalam dunia tanpa sempadan dan berkawan dengan warga maya yang tidak kita kenali secara fizikal menjadikan kita terpisah daripada realiti kehidupan yang sebenarnya.

Ketaksuban pada media sosial membawa kepada kerenggangan hubungan di dunia fizikal.

Cuba kita perhatikan gelagat remaja ketika menghadiri majlis-majlis keramaian, pulang ke kampung atau pun ketika menyambut hari perayaan, mereka lebih senang bersama telefon pintar daripada berbual dan bergaul dengan orang sekeliling.

Begitu juga keadaannya apabila terdapat ayah, ibu dan anak-anak yang dilihat lebih berminat untuk berinteraksi dalam media sosial daripada bermesra sesama keluarga walaupun ketika mereka bersama.

Akibat terlalu leka melayari media sosial, ramai remaja menjadi lalai dan hilang fokus dalam pelajaran mereka.

Penggunaan bahasa yang salah dan diringkaskan serta bahasa yang kasar di media sosial juga telah merosakkan keindahan bahasa dan juga melemahkan kemahiran dalam penggunaan tata bahasa yang betul dalam kalangan remaja. – UTUSAN ONLINE

Ahmad Ali Karim

Pelajar

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.





Setahun Yang Amat Getir

28 06 2019

GENAP setahun berlalu sejak perginya ayahanda saya, Hj. A. Karim Omar pada 28hb Jun 2018. Setahun yang amat sukar dan memeritkan. Bukan sahaja saya rindukan arwah ayah dan hilang tempat bergantung tetapi terpaksa menghadapi satu demi satu cabaran dan tekanan yang melanda secara bertubi-tubi. Namun, Alhamdulillah, Allah S.W.T. telah memberi saya kekuatan dalam meneruskan hidup walaupun terlalu banyak rintangan yang mendatang.

Inilah ranjau kehidupan kita selagi bergelar manusia. Hidup setiap insan di dunia ini pasti menempuh ombak dan badai, tanpa mengira bagaimana hebat sekali pun insan itu. Walau sesiapapun kita, sampai saatnya pasti kita akan diuji.

Kehidupan kami berubah sejak ketiadaan ayah. Banyak perkara yang menyedihkan dan melukakan hati telah berlaku. Mungkin dengan cara menulis, dapat saya leraikan kekusutan dan kesedihan di hati saya. Walaupun begitu berat dugaan menimpa, saya berdoa dan berazam akan tetap istiqamah menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh Allah S.W.T. sebagai wali keluarga saya selagi mana saya mampu.

Masih segar di dalam ingatan saya, ketika saya dikejutkan oleh ibu pada lebih kurang pukul 4 pagi setahun yang lalu. Ketika itu saya, ibu dan ketiga-tiga kakak saya berada bersebelahan bilik ICU kerana kami tidak mahu berjauhan daripada ayah ketika ayah dalam keadaan yang tenat.

Apabila terjaga, saya sudah dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Doktor memberitahu kami bahawa ayah akan pergi dan kami dibenarkan berada di sisi ayah di bilik ICU. Empat jam kemudian, ayah telah pergi meninggalkan kami. Saya telah kehilangan ayah dan hilang tempat bergantung.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana ayah pergi dengan tenang dan dengan izin Allah S.W.T, kami sekeluarga berada di sisi ayah sehingga ke saat arwah ayah menghembuskan nafas yang terakhir.

Alhamdulillah, kami telah memilih untuk tidur di hospital selama ayah berada di sana. Oleh kerana kami berada di hospital, Allah berikan rezeki masa yang lebih lama berada di sisi ayah untuk kami bersedia menghadapi saat berpisah buat selama-lamanya, walaupun empat jam itu cuma bagaikan empat puluh minit bagi saya.

Itulah empat jam yang paling berharga dan paling mencabar dalam hidup saya. Segalanya berlaku dengan begitu pantas. Namun saya redha dengan pemergian ayah.

Benar kata orang tua, kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah didapati. Kita disayang ketika kita berada tetapi apabila kita susah, kita disisihkan.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Baru empat jam arwah ayahanda meninggal, saya masih dalam keadaan terpingga-pingga dengan pemergian ayah apabila saya ditinggalkan di masjid oleh orang yang sepatutnya menumpangkan saya ke tanah perkuburan. Van jenazah sudah bertolak dah masjid sudah lengang. Dan orang yang berjanji untuk menumpangkan saya ke tanah perkuburan sudahpun hilang entah ke mana dan saya ditinggalkan bersendirian. Ibu dan kakak-kakak tidak bersama saya kerana kami dibahagikan menumpang kereta yang berbeza.

Pilu, takut dan risau tidak dapat ke pusara ketika arwah ayah akan dikebumikan. Saya tidak dapat menghubungi ibu kerana telefon saya di tangan kakak. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu dan ianya masih menghantui saya.

Saya cuba mengejar rombongan kereta yang mengikuti van jenazah kerana saya tidak tahu nama dan di mana letaknya tanah perkuburan yang dipilih oleh pak cik. Mujurlah sahabat rapat arwah ayah ternampak saya. Beliau menyapa saya kerana hairan saya masih di masjid yang telah lengang ketika jenazah ayah sudah dibawa ke pusara. Alhamdulillah, apabila mendapat tahu saya telah ditinggalkan dan mahu berjalan kaki ke kubur kerana tiada kenderaan, beliau terus membawa saya menaiki keretanya.

Rupanya itu baru permulaan. Tidak pernah saya menyangka, setelah perginya ayah, kami akan diperlakukan sebegini rupa. Hak kami dipertikaikan dan fitnah dilontar sesuka hati oleh mereka yang kami kenali termasuk fitnah ke atas arwah ayah yang telahpun meninggal dunia. Yang paling menyedihkan dan mengecewakan saya ialah ramai insan yang lebih suka mempercayai dan menyambung fitnah daripada mencari kebenaran.

Lebih menyedihkan ialah di saat saya merayu memohon pertolongan, saya disuruh berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain. Semasa kecil saya diajar bahawa air dicincang tidak akan putus. Tetapi nampak gayanya apabila saya hilang tempat bergantung diri saya yang dicincang.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana disebalik yang membenci, masih ada mereka yang mengasihi, mengingati dan prihatin akan nasib kami. Banyak kata-kata nasihat yang diberikan kepada saya supaya saya lebih cekal dalam menghadapi dugaan hidup. Benar, kata-kata orang tidak akan memburukkan keadaan kerana ia hanya kata-kata. Saya cuba menutup telinga dan belajar untuk tidak terasa dengan fitnah yang dilontar terhadap saya.

Namun, tentunya amat sukar untuk mengenepikan fitnah terhadap ayahanda yang telah tiada. Juga tentunya amat sukar untuk mengenepikan fitnah terhadap ibunda yang melahirkan dan menjaga kita sejak kecil, lebih-lebih lagi yang berkorban menjaga dan memberi makan kami adik beradik setelah ayahanda pergi meninggalkan kami. Saya hairan bagaimana begitu senang mereka mengeluarkan kata-kata sebegitu.

Mungkin seperti biasa saya dianggap salah faham kerana berada di dalam keadaan beremosi selepas perginya ayahanda tersayang. Mungkin sepertimana mereka kata, saya terlalu banyak berfikir padahal sebenarnya tindakan meninggalkan saya keseorangan di masjid itu ialah satu keputusan yang terbaik untuk mengajar saya erti berdikari dan perbuatan menfitnah kami sekeluarga termasuk arwah ayah saya juga merupakan perbuatan yang betul.

Saya cuba sedaya upaya untuk menghadapi segala tekanan ini dan Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T. saya diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan saya, masih dapat saya menulis di laman blog saya dan masih dapat saya meneruskan perjuangan saya. Alhamdulillah, walaupun amat getir, telah dapat saya bertahan selama setahun; dan saya doakan agar saya dapat lebih kuat untuk menghadapi cabaran ini untuk tahun-tahun seterusnya.


Ahmad Ali Karim
28/06/2019

Image result for al fatihah




Novel Dakwah Pertama, ‘Desert Storm’ – Satu Ulasan

26 06 2019

Pada hujung minggu lepas, saya dihadiahkan buku berjudul ‘Desert Storm’ oleh Profesor Datuk Dr. Sidek Baba pada majlis Hari Raya Aidilfitri di kediaman beliau.

Buku tersebut baru sahaja siap dua hari sebelum majlis tersebut, dan Alhamdulillah, saya merupakan antara yang pertama dapat melihat dan memiliki buku tersebut sebelum ia keluar di pasaran.

Cikgu Sidek mula menulis buku ini pada tahun 1990 dan selesai pada tahun 2018.

Menurut Cikgu, novel ini adalah berdasarkan kisah benar di mana 80% daripada kandungan buku ini diambil daripada pengalaman beliau ketika di Amerika Syarikat.

Paling istimewa, Desert Storm merupakan novel dakwah yang pertama di mana ianya memberi perspektif yang baharu di dalam penulisan novel.

Buku ini menceritakan suka duka perjuangan seorang warganegara Amerika Syarikat bernama Andy bermula daripada beliau mengenali agama Islam dan seterusnya menerima hidayah daripada Allah S.W.T. kepada usaha memantapkan pengetahuan Islam dan seterusnya menjadi seorang aktivis Islam yang komited dalam kerja-kerja dakwah di negaranya.

Di sudut yang lain, novel ini juga mengisahkan tentang kecekalan Cikgu Lukman, seorang pelajar yang sedang menyambung pelajaran di peringkat PhD di Universiti Northern Illinois dan pengobanan isterinya Rosnani dalam membantu kerja-kerja dakwah Cikgu Lukman Amerika Syarikat.

Novel ini bermula dengan cerita Andy, seorang pelajar beragama Kristian yang berasal daripada Michigan, yang mula berminat untuk mendalami agama Islam setelah beliau berkenalan dengan Siti Hawa, seorang pelajar daripada Malaysia.

Siti Hawa kemudiannya membawa Andy kepada Cikgu Lukman yang merupakan Presiden Persatuan Pelajar-pelajar Islam di Universiti Northern Illinois dan bermula daripada ini, novel Desert Storm membawa kita kepada kisah kehidupan dan perjuangan mereka yang terpaksa menempuh berbagai cabaran.

Buku ini menyentuh isu-isu dan persoalan yang penting dalam kehidupan umat Islam, contohnya soal keimanan kita terhadap Allah S.W.T. dan juga masalah persepsi Barat terhadap Islam, yang sering dilihat oleh mereka sebagai sebuah agama yang ekstrim.

Saya amat tertarik dengan cara penulisan buku ini kerana di sebalik penceritaannya yang berbentuk sebuah novel yang memaparkan kisah kehidupan seperti novel-novel lain, di dalamnya padat dengan pengajaran dan teladan yang penting untuk dijadikan sebagai pedoman hidup.

Ini menjadikan buku ini sangat istimewa, menarik dan amat sesuai untuk dibaca oleh seisi keluarga, termasuk golongan remaja.

Buku ini mengandungi hanya 15 bab yang pendek, ditulis dengan gaya bahasa yang mudah dan ‘tidak berat’ untuk dibaca dan difahami.

Berbeza daripada novel-novel terkini yang kebanyakannya membawa mesej yang negatif dan melalaikan, Desert Storm memperkatakan tentang banyak persoalan yang sering berbangkit dalam kalangan umat Islam pada masa kini.

Bagi saya, novel dakwah ialah satu pendekatan yang sangat baik untuk memperkukuhkan asas kefahaman Islam dalam kalangan anak-anak muda kerana kebanyakan mereka lebih meminati tulisan berbentuk cerita yang santai dan tidak berminat untuk membaca buku-buku ilmiah yang dianggap ‘berat’.

Membaca bahan bacaan yang bermutu dan yang membawa mesej yang betul akan membantu membentuk jati diri bangsa yang hebat demi menjamin satu masa hadapan yang cemerlang untuk agama, bangsa dan tanah air.





Seronok ke Majlis Rumah Terbuka Dr. Yusri Mohamad

23 06 2019

Semalam saya berkesempatan hadir ke majlis rumah terbuka mantan Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad di kediaman beliau di Bandar Baru Bangi.

Uncle Yusri merupakan salah seorang sahabat rapat arwah ayahanda saya yang sangat aktif di bidang dakwah dan pernah memegang jawatan sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) daripada tahun 2005 sehingga 2009.

Di majlis tersebut saya berpeluang bertemu kembali abang-abang dan kakak-kakak daripada Felo Muda Dakwah (FMD) YADIM dan Sahabat YADIM yang telah lama tidak saya temui sejak pemergian arwah ayahanda saya setahun yang lalu.

Kakak kepada Uncle Yusri pula telah menceriakan lagi suasana majlis dengan menyediakan aiskrim yang sangat lazat yang sudah tentu menjadi tarikan kepada tetamu yang hadir.





Jangan Curahkan Minyak Ke Dalam Api Yang Membara

20 06 2019

Sejak beberapa hari yang lepas, imej di atas yang mempaparkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Teo Nie Ching di laman Facebooknya telah tular di alam maya dan menjadi bual bicara para wargamaya di seluruh media sosial.

Timbul persolan serius apabila di akhir kenyataan tersebut, YB Teo Nie Ching telah menjemput individu, kumpulan dan institusi tanpa mengira agama dan bangsa, untuk mengemukakan cadangan untuk menambah baik subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan. Ibarat mencurah minyak ke dalam api yang membara, hal ini telah membakar rasa amarah masyarakat Islam yang taat dan sayangkan Islam dan juga menjunjung undang-undang negara.

Tidak perlu saya huraikan perkara ini secara terperinci memandangkan perkara ini sudah pun diulas oleh pihak-pihak yang lebih berwibawa. Namun bagi saya, terdapat dua isu yang amat mengecewakan saya dan mungkin ada yang terlepas pandang usai kejadian ini.

Pertama sekali, saya kecewa dengan tindakan YB Timbalan Menteri Pendidikan ini yang tidak keperlembagaan yang secara jelas telah melanggar Perkara 11(3)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak kebebasan beragama:

11(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak— (a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;

Undang-undang tertinggi negara menjamin hak penganut sesuatu agama untuk menguruskan hal ehwal agama mereka sendiri dan penganut agama lain tidak berhak mencampuri urusan agama lain selain agamanya sendiri; termasuk memberi cadangan walau untuk apa tujuan sekali pun. Oleh itu tindakan “menjemput individu, kumpulan dan institusi tanpa mengira agama” untuk berbincang dan memberi cadangan dalam hal yang membabitkan pelajaran Pendidikan Islam adalah salah, tidak keperlembagaan dan menafikan hak kebebasan beragama umat Islam!

Hujah ini diperkuatkan lagi oleh Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan:

12 (2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Kedua, saya juga tidak bersetuju dengan hujah berberapa pihak, yang dalam membidas kenyataan YB Teo Nie Ching, menegaskan bahawa jika orang-orang daripada kumpulan agama lain berhak untuk mencampuri hal ehwal agama Islam, maka orang Islam juga berhak atau mesti diberi hak mencampuri hal ehwal agama-agama lain. Saya tidak dapat melihat apa-apa kebaikan dan kebijaksanaan daripada hujah tersebut; malah ianya hanya mengusutkan lagi keadaan. Ibarat mencurah minyak ke dalam api yang membara.

Bagi saya, hujah dan pendirian sebegini adalah tidak matang dan bukan cara yang bijak dan berkesan di dalam menyelesaikan masalah sebegini. Umat Islam mesti faham hak mereka menurut undang-undang dan bersatu menyuarakan bantahan serta tegas dalam mempertahankan kesucian Islam daripada dicemari dengan cara yang bijaksana seperti yang diajar oleh agama Islam.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka. Tiada siapa yang untung jika kita saling cabar-mencabar dan gagal menghormati undang-undang. Lemah liat kayu akar, dilenturkan boleh, dipatah tak dapat.

Islam tidak mengajar kita untuk mencampuri hal agama lain. Ayat ke-6 di dalam Surah Al-Kafirun menyuruh kita menghormati agama-agama lain, sepertimana kita mahu mereka menghormati agama Islam.

Di dalam menyelesaikan masalah, kita perlulah bijak bertindak menurut lunas Islam.

Dan kepada Kementerian Pendidikan, hormatilah Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan beragama umat Islam.





Permohonan Keluar Islam Berjaya Dibatalkan

18 06 2019
Dari kiri, Tuan Ahmad Kamal bin Abu Bakar, Tuan Arik Zakri bin Dato’ Abdul Kadir, dan Puan Nurul Hidayah binti Ibrahim, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Petang semalam saya telah menerima mesej di bawah daripada abang saudara saya, peguam Arik Zakri. Tahniah saya ucapkan kepada Abang Arik dan Uncle Kamal kerana telah berjaya mempertahankan keperlembagaan Akta dan Bidangkuasa Mahkamah Syariah. Semoga sentiasa di dalam rahmat Allah S.W.T..

Permohonan Keluar Islam Berjaya Dibatalkan
Keperlembagaan Akta dan Bidangkuasa Mahkamah Syariah Dipertahankan

Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan kami untuk membatalkan tindakan undang-undang yang dimulakan oleh seorang individu untuk keluar agama Islam dan mencabar keperlembagaan suatu Akta yang menubuhkan sebuah Majlis yang bertanggungjawab atas pentadbiran undang-undang Islam di wilayah-wilayah tertentu di Malaysia.

Kes Indira Gandhi, yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tahun lepas, telah berjaya dibezakan dari segi undang-undang dan fakta dan dipertimbangkan dalam konteks yang sewajarnya.

Alhamdulillah, bersyukur seluruh tenaga firma kami dapat digerakkan bagi menghadapi cabaran tersebut yang mampu membawa kesan yang meluas kepada pengamalan Muslimin di negara ini dan tadbirurus agama Islam oleh badan-badan yang berwajib.

Arik Zakri

Congratulations, Abang Arik, I’m proud of you!





Majlis Hari Raya Prof Sidek Baba

17 06 2019

Saya sangat teruja apabila dijemput oleh guru yang sangat saya hormati, Prof Datuk Dr Sidek Baba ke majlis rumah terbuka di kediamannya semalam. Beliau adalah tokoh yang amat di hormati dan sangat dekat di hati arwah ayahanda saya. Datuk Sidek, yang sering membahasakan dirinya sebagai Cikgu merupakan seorang aktivis Islam yang sangat aktif di dalam kerja-kerja dakwah sejak zaman beliau masih belajar sehinggalah hari ini.
Oleh kerana kami tiba sebelum majlis bermula, sempat kami berbual panjang dan berbincang tentang isu-isu semasa terutamanya tentang nasib orang Melayu di masa hadapan. Seperti arwah ayahanda saya, Cikgu Sidek amat prihatin akan nasib bangsa dan masa depan negara; dan sering membantu dan menasihati kami sejak pemergian ayahanda.
Alhamdulillah, Cikgu Sidek juga telah menghadiahkan saya senaskah buku bertajuk, “Desert Storm”, novel dakwah terbaharu beliau yang menceritakan tentang perjuangan beliau di dalam bidang dakwah yang bagi saya akan memberi kekuatan, panduan dan iktibar kepada kita semua dalam membentuk diri ke arah menjadi insan yang lebin baik.

Terima kasih kepada Abang Nasrul kerana telah bermurah hati membawa kami ke rumah Cikgu.








%d bloggers like this: