K-Pop Pemangkin Dasar Pembangunan Belia Negara?

29 04 2019

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat keputusan menjemput BTS iaitu sebuah kumpulan musik K-Pop daripada Korea Selatan untuk membuat persembahan di Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Tindakan ini membangkitkan kritikan daripada banyak pihak, termasuklah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sendiri, Datuk Mohammadin Ketapi, yang mengatakan bahawa negara kita cukup dengan pelbagai budaya tersendiri yang boleh diangkat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya juga menegaskan bahawa beliau tidak akan meluluskan cadangan pameran lukisan bertemakan animasi terkenal Jepun, Doraemon. Saya amat bersetuju dengan beliau di dalam hal ini, kerana adalah tidak masuk akal untuk kita mengimport hasil seni dari luar negara seperti Doraemon dari Jepun dan K-Pop dari Korea Selatan sebagai tarikan pelancung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Saya sendiri merasa amat terkejut dengan keputusan Menteri Belia dan Sukan dan tertanya-tanya apakah kaitannya di antara membawa masuk persembahan kumpulan K-Pop daripada Korea Selatan dengan tahun melawat Malaysia? Amat menghairankan, memandangkan budaya K-Pop bukanlah satu cabang seni budaya kebanggaan negara. Apatah lagi budaya K-Pop jauh tersasar daripada ketinggian sopan santun tamadun kita yang beradab dan beradat. Saya pernah menulis sebuah artikel mengulas isu K-Pop; “Lekanya Melayu Diulit K-Pop”.

Persoalannya, bukankah tujuan Tahun Melawat Malaysia ialah untuk mempromosikan negara kita kepada dunia? Oleh itu, mengapakah kita mahu menumpang budaya luar dalam mempromosikan negara sedangkan negara kita amat kaya dengan seni budaya yang indah dan unik? Lebih menyedihkan lagi ialah apabila perkara ini dicadangkan oleh Y.B. menteri sendiri.

Dari sudut yang lain, saya berpendapat bahawa Kementerian Belia dan Sukan sepatutnya berusaha membentuk sahsiah dan jati diri belia demi melahirkan rakyat yang berhemah, tinggi kesopanannya, bertamadun dan sayangkan negara. Saya tidak pernah mempertikaikan kejayaan industri musik K-Pop dari sudut sebuah industri, dan sebagai sebuah industri perniagaan, adalah menjadi hak mereka untuk menjana keuntungan. Namun kita sebagai pengguna yang bijak, berhak memilih apa yang lebih baik untuk diri kita.

Belia merupakan tonggak kepada kepimpinan masa hadapan negara. Jangan kita lupa bahawa matlamat Dasar Pembangunan Belia Negara ialah untuk “mewujudkan belia Malaysia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi rohani, akliah dan jasmaniah, bertanggung jawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara selaras dengan Wawasan 2020”.








%d bloggers like this: