Sifat Sejarah Mengulangi, Ambillah Iktibar – Dr. Sidek Baba

24 04 2019
BENARKAH dakwaan penulis, Lily Zubaidah bahawa Melayu Singapura terpinggir sedangkan Presiden wanita pertama republik itu, Halimah Yacob adalah daripada kaum berkenaan? – Gambar Hiasan/AFP

MEMBACA buku Abdul Latip Talib (2017) mengenai kejatuhan Melaka di tangan Portugis memberi kita pengajaran betapa pentingnya kualiti dan amanah kepimpinan dipertahankan dan peranan penasihat yang belot telah membawa kemusnahan serta mengakibatkan Melaka dijajah silih berganti selama hampir 450 tahun.

Meneliti buku Revolusi Mental susunan Senu Abdul Rahman (2005) dengan ramai lagi penyumbang mengingatkan kita perlunya perubahan cara berfikir orang-orang Melayu dalam menghadapi cabaran sezaman dan kerenah lingkungan.

Mengimbau buku Tunku Abdul Rahman Sebelum dan Selepas 13 Mei 1969 (2011) pula menyentak pemikiran kita tentang krisis antara kaum yang menyebabkan rusuhan terjadi. Menginsafi apa yang terkandung dalam buku Lily Zubaidah mengenai Dilema Singapura (2008) memberi dimensi mengenai nasib orang Melayu di sana.

Menggarap buku terkini Antara Dua Darjat (2019) oleh Muhammed Abdul Khalid memberikan kita data dan analisis mengenai nasib orang Melayu di Malaysia. Banyak peristiwa sejarah berlaku di dunia Melayu khususnya Malaysia yang menuntut iktibar yang tinggi kerana sifat sejarah mengulangi.

Sejarah sesuatu bangsa dan negara dirakam baik buruknya untuk jadi renungan generasi kini kerana perubahan tetap berlaku. Dalam konteks umat Melayu, perkembangan geo-politik yang terjadi boleh menjebak semula umat Melayu ibarat nasi sudah menjadi bubur.

Masih ada masa lagi untuk generasi penerus meneliti dan menginsafi bagaimana kelemahan masa lalu seperti yang terakam dalam bukubuku sejarah dijadikan iktibar dengan memilih jalan terbaik memperkasa kedudukan umat Melayu di negaranya sendiri.

Faktor kepimpinan dan sikap kepengikutan harus bergerak seiring supaya jiwa mandiri dalam kalangan warga umat terbina dengan baik dan bijaksana. Jiwa kebergantungan kepada pihak lain adalah perlu tapi jangan sampai ia meminggirkan martabat umat Melayu secara jangka panjang.

Kekuatan ilmu pengetahuan dan daya profesional perlu diperkukuh kerana cabaran masa depan dengan teknologi paras tinggi dapat diimbangi dengan ihsan keinsanan menjadikan etika sebagai pedoman mensejahterakan umat manusia berlaku.

Apa yang terjadi dalam sejarah Melaka adalah kelemahan kepimpinan yang hilang amanah menyebabkan musuh dari luar dan dibantu oleh musuh dalaman menyebabkan Melaka dijajah.

Kepimpinan adalah suatu taklif atau amanah memahami bahawa “pelanduk sering lupakan jerat dan jerat tidak pernah lupakan pelanduk”. Jerat politik dan ekonomi sentiasa ada pada setiap masa.

Meneliti tulisan Tunku Abdul Rahman menjadi sesuatu yang amat malang bagi Malaysia kerana nafsu serakah berpolitik menyebabkan kita berdepan dengan tragedi rasis akibat kemelut politik dan ekonomi tidak terkawal.

Hal tersebut masih berbangkit kini kerana jurang perbezaan ekonomi masih ketara dan pendekatan politik sudah hilang etika menyantuni. Justeru Revolusi Mental perlu diperkukuh semula dalam kalangan warga umat Melayu dan bukan Melayu supaya roh Perlembagaan negara dijadikan sandaran rujukan.

Perlembagaan negara diasaskan atas pertimbangan suasana politik dalam masyarakat majmuk, ada suasana memberi dan menerima yang disimpulkan sebagai kontrak sosial.

Ia juga terhubung dengan kedudukan orang Melayu dalam ekonomi akibat dasar pecah dan perintah penjajah menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin terkial-kial melakukan pendakian dalam sistem kapitalis yang mencengkam.

Meneliti tulisan Lily Zubaidah tentang umat Melayu terpinggir dalam politik dan pendidikan, ia amat menyedihkan. Ia boleh terjadi di Malaysia sekiranya umat Melayu cuai dan terus memilih jalan perpecahan menyebabkan hilang kuasa.

Apalagi bila meneliti faktafakta yang dipaparkan oleh Muhammed Abdul Khalid tentang agihan pendapatan di Malaysia, kesayuan semakin terasa. Amat perlu umat Melayu mengikis sikap kebergantungan kepada jiwa mandiri dan melakukan lonjakan supaya sikap kreatif dan produktif terbina.

Fokus membangun umat Melayu yang selari dengan roh Perlembagaan menuntut kefahaman tinggi dalam kalangan pihak bukan Melayu supaya warga Malaysia dapat bergerak seiring ke arah perubahan dan kemajuan.

Pendekatan sama rata, sama rasa, atas asas merit ekonomi dan pendidikan bukan jawapan terbaik ke arah persefahaman. Penguasaan politik, ekonomi dan pendidikan sesuatu kaum bukan jawapan terbaik ke arah perdamaian dan kestabilan.

Memahami kelemahan dan kekurangan orang lain harus disantuni dengan jiwa muafakat dan toleransi supaya semangat kekitaan dan kebersamaan terjadi.

Inilah harga yang dibayar sekiranya Malaysia ingin menjadi contoh masyarakat majmuk yang memiliki daya ihsan (kebaikan) tinggi satu sama lain. Kalau ini tidak terjadi, krisis akan menjadi lebih parah.

Dan bila ini berlaku, rasisme semakin menebal, jurang ekonomi bertambah dan ia tidak menguntungkan sesiapa sebagai warga Malaysia.

Professor Datuk Dr. Sidek Baba
Utusan Malaysia, 24/04/2019

Advertisements







%d bloggers like this: