K-Pop Pemangkin Dasar Pembangunan Belia Negara?

Persoalannya, bukankah tujuan tahun melawat Malaysia ialah untuk mempromosikan negara kita kepada dunia? Oleh itu, mengapakah kita mahu menumpang budaya luar untuk mempromosikan negara sedangkan negara kita amat kaya dengan seni budaya yang indah dan unik? Lebih menyedihkan lagi ialah apabila perkara ini dicadangkan oleh Y.B. menteri sendiri.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat keputusan menjemput BTS iaitu sebuah kumpulan musik K-Pop daripada Korea Selatan untuk membuat persembahan di Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Tindakan ini membangkitkan kritikan daripada banyak pihak, termasuklah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sendiri, Datuk Mohammadin Ketapi, yang mengatakan bahawa negara kita cukup dengan pelbagai budaya tersendiri yang boleh diangkat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya juga menegaskan bahawa beliau tidak akan meluluskan cadangan pameran lukisan bertemakan animasi terkenal Jepun, Doraemon. Saya amat bersetuju dengan beliau di dalam hal ini, kerana adalah tidak masuk akal untuk kita mengimport hasil seni dari luar negara seperti Doraemon dari Jepun dan K-Pop dari Korea Selatan sebagai tarikan pelancung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Saya sendiri merasa amat terkejut dengan keputusan Menteri Belia dan Sukan dan tertanya-tanya apakah kaitannya di antara membawa masuk persembahan kumpulan K-Pop daripada Korea Selatan dengan tahun melawat Malaysia? Amat menghairankan, memandangkan budaya K-Pop bukanlah satu cabang seni budaya kebanggaan negara. Apatah lagi budaya K-Pop jauh tersasar daripada ketinggian sopan santun tamadun kita yang beradab dan beradat. Saya pernah menulis sebuah artikel mengulas isu K-Pop; “Lekanya Melayu Diulit K-Pop”.

Persoalannya, bukankah tujuan Tahun Melawat Malaysia ialah untuk mempromosikan negara kita kepada dunia? Oleh itu, mengapakah kita mahu menumpang budaya luar dalam mempromosikan negara sedangkan negara kita amat kaya dengan seni budaya yang indah dan unik? Lebih menyedihkan lagi ialah apabila perkara ini dicadangkan oleh Y.B. menteri sendiri.

Dari sudut yang lain, saya berpendapat bahawa Kementerian Belia dan Sukan sepatutnya berusaha membentuk sahsiah dan jati diri belia demi melahirkan rakyat yang berhemah, tinggi kesopanannya, bertamadun dan sayangkan negara. Saya tidak pernah mempertikaikan kejayaan industri musik K-Pop dari sudut sebuah industri, dan sebagai sebuah industri perniagaan, adalah menjadi hak mereka untuk menjana keuntungan. Namun kita sebagai pengguna yang bijak, berhak memilih apa yang lebih baik untuk diri kita.

Belia merupakan tonggak kepada kepimpinan masa hadapan negara. Jangan kita lupa bahawa matlamat Dasar Pembangunan Belia Negara ialah untuk “mewujudkan belia Malaysia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi rohani, akliah dan jasmaniah, bertanggung jawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara selaras dengan Wawasan 2020”.

Satu-Satunya Anak Melayu Penerima Anugerah Cambridge A Level Sesi Ini

Dua hari lepas, saya telah mengiringi kakak ke majlis penyampaian anugerah Outstanding Cambridge Learner Awards Malaysia (OCLAMalaysia) di Hotel Armada, Petaling Jaya bagi peperiksaan A Level, AS Level dan IGCSE sesi bulan November 2018. Penerima-penerima anugerah berprestij ini adalah calon-calon yang bukan sahaja telah berjaya mendapat markah tertinggi tetapi juga menunjukkan prestasi cemerlang dan luar biasa di dalam perperiksaan-peperiksaan tersebut.

Di majlis tersebut, kakak sulong saya, Aiman Amani Karim, telah menerima anugerah High Achievement in English Language, yang bermakna beliau adalah pelajar terbaik Malaysia bagi subjek Bahasa Inggeris peperiksaan A Level November 2018. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Dr Rahimah Adam, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Dasar & Perkembangan (SPDP) Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi saya, kejayaan ini amat bermakna kerana kakak saya merupakan satu-satunya penerima anugerah Cambridge peringkat A Level yang berbangsa Melayu. Kakak saya juga satu-satunya calon persendirian yang
menerima anugerah Cambridge peringkat A Level. Penerima-penerima anugerah lain merupakan pelajar-pelajar daripada kolej-kolej swasta ternama.

Saya bersyukur dan merasa bangga melihat kejayaan kakak kesayangan saya yang telah menduduki peperiksaan di saat kami sedang diuji dengan berbagai tekanan setelah baharu sahaja kehilangan ayahanda kesayangan kami.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T., kerana dengan limpah kurnianya kakak saya telah mendapat kejayaan cemerlang yang sangat bermakna bagi kami semua. Saya turut menumpang bangga dengan pencapaian ini, dan Insya-Allah, saya berdoa agar ianya akan membawa manfaat kepada seluruh umat Islam.

Related Post:

Sifat Sejarah Mengulangi, Ambillah Iktibar – Dr. Sidek Baba

BENARKAH dakwaan penulis, Lily Zubaidah bahawa Melayu Singapura terpinggir sedangkan Presiden wanita pertama republik itu, Halimah Yacob adalah daripada kaum berkenaan? – Gambar Hiasan/AFP

MEMBACA buku Abdul Latip Talib (2017) mengenai kejatuhan Melaka di tangan Portugis memberi kita pengajaran betapa pentingnya kualiti dan amanah kepimpinan dipertahankan dan peranan penasihat yang belot telah membawa kemusnahan serta mengakibatkan Melaka dijajah silih berganti selama hampir 450 tahun.

Meneliti buku Revolusi Mental susunan Senu Abdul Rahman (2005) dengan ramai lagi penyumbang mengingatkan kita perlunya perubahan cara berfikir orang-orang Melayu dalam menghadapi cabaran sezaman dan kerenah lingkungan.

Mengimbau buku Tunku Abdul Rahman Sebelum dan Selepas 13 Mei 1969 (2011) pula menyentak pemikiran kita tentang krisis antara kaum yang menyebabkan rusuhan terjadi. Menginsafi apa yang terkandung dalam buku Lily Zubaidah mengenai Dilema Singapura (2008) memberi dimensi mengenai nasib orang Melayu di sana.

Menggarap buku terkini Antara Dua Darjat (2019) oleh Muhammed Abdul Khalid memberikan kita data dan analisis mengenai nasib orang Melayu di Malaysia. Banyak peristiwa sejarah berlaku di dunia Melayu khususnya Malaysia yang menuntut iktibar yang tinggi kerana sifat sejarah mengulangi.

Sejarah sesuatu bangsa dan negara dirakam baik buruknya untuk jadi renungan generasi kini kerana perubahan tetap berlaku. Dalam konteks umat Melayu, perkembangan geo-politik yang terjadi boleh menjebak semula umat Melayu ibarat nasi sudah menjadi bubur.

Masih ada masa lagi untuk generasi penerus meneliti dan menginsafi bagaimana kelemahan masa lalu seperti yang terakam dalam bukubuku sejarah dijadikan iktibar dengan memilih jalan terbaik memperkasa kedudukan umat Melayu di negaranya sendiri.

Faktor kepimpinan dan sikap kepengikutan harus bergerak seiring supaya jiwa mandiri dalam kalangan warga umat terbina dengan baik dan bijaksana. Jiwa kebergantungan kepada pihak lain adalah perlu tapi jangan sampai ia meminggirkan martabat umat Melayu secara jangka panjang.

Kekuatan ilmu pengetahuan dan daya profesional perlu diperkukuh kerana cabaran masa depan dengan teknologi paras tinggi dapat diimbangi dengan ihsan keinsanan menjadikan etika sebagai pedoman mensejahterakan umat manusia berlaku.

Apa yang terjadi dalam sejarah Melaka adalah kelemahan kepimpinan yang hilang amanah menyebabkan musuh dari luar dan dibantu oleh musuh dalaman menyebabkan Melaka dijajah.

Kepimpinan adalah suatu taklif atau amanah memahami bahawa “pelanduk sering lupakan jerat dan jerat tidak pernah lupakan pelanduk”. Jerat politik dan ekonomi sentiasa ada pada setiap masa.

Meneliti tulisan Tunku Abdul Rahman menjadi sesuatu yang amat malang bagi Malaysia kerana nafsu serakah berpolitik menyebabkan kita berdepan dengan tragedi rasis akibat kemelut politik dan ekonomi tidak terkawal.

Hal tersebut masih berbangkit kini kerana jurang perbezaan ekonomi masih ketara dan pendekatan politik sudah hilang etika menyantuni. Justeru Revolusi Mental perlu diperkukuh semula dalam kalangan warga umat Melayu dan bukan Melayu supaya roh Perlembagaan negara dijadikan sandaran rujukan.

Perlembagaan negara diasaskan atas pertimbangan suasana politik dalam masyarakat majmuk, ada suasana memberi dan menerima yang disimpulkan sebagai kontrak sosial.

Ia juga terhubung dengan kedudukan orang Melayu dalam ekonomi akibat dasar pecah dan perintah penjajah menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin terkial-kial melakukan pendakian dalam sistem kapitalis yang mencengkam.

Meneliti tulisan Lily Zubaidah tentang umat Melayu terpinggir dalam politik dan pendidikan, ia amat menyedihkan. Ia boleh terjadi di Malaysia sekiranya umat Melayu cuai dan terus memilih jalan perpecahan menyebabkan hilang kuasa.

Apalagi bila meneliti faktafakta yang dipaparkan oleh Muhammed Abdul Khalid tentang agihan pendapatan di Malaysia, kesayuan semakin terasa. Amat perlu umat Melayu mengikis sikap kebergantungan kepada jiwa mandiri dan melakukan lonjakan supaya sikap kreatif dan produktif terbina.

Fokus membangun umat Melayu yang selari dengan roh Perlembagaan menuntut kefahaman tinggi dalam kalangan pihak bukan Melayu supaya warga Malaysia dapat bergerak seiring ke arah perubahan dan kemajuan.

Pendekatan sama rata, sama rasa, atas asas merit ekonomi dan pendidikan bukan jawapan terbaik ke arah persefahaman. Penguasaan politik, ekonomi dan pendidikan sesuatu kaum bukan jawapan terbaik ke arah perdamaian dan kestabilan.

Memahami kelemahan dan kekurangan orang lain harus disantuni dengan jiwa muafakat dan toleransi supaya semangat kekitaan dan kebersamaan terjadi.

Inilah harga yang dibayar sekiranya Malaysia ingin menjadi contoh masyarakat majmuk yang memiliki daya ihsan (kebaikan) tinggi satu sama lain. Kalau ini tidak terjadi, krisis akan menjadi lebih parah.

Dan bila ini berlaku, rasisme semakin menebal, jurang ekonomi bertambah dan ia tidak menguntungkan sesiapa sebagai warga Malaysia.

Professor Datuk Dr. Sidek Baba
Utusan Malaysia, 24/04/2019

Sikap hina Raja, kesucian Islam tidak boleh dibiarkan – Pemangku Raja Pahang

[Berita Harian}- Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, mahu semua pihak menghormati sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Baginda bertitah, sebagai negara yang meletakkan Raja kuasa tertinggi, khususnya dalam hal ehwal agama Islam, sikap segelintir pihak menghina Raja dan kesucian Islam tidak boleh dipandang ringan serta perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“Penghinaan terhadap institusi Raja dan agama Islam tidak boleh dibiarkan serta dipandang enteng. Adalah wajar tindakan mengikut undang-undang diambil terhadap pihak terbabit dalam memastikan martabat institusi Raja dihormati oleh semua pihak.

“Selain itu, saya melihat pelbagai anasir negatif menular dalam kalangan rakyat beragama Islam, termasuk kefahaman Islam liberal serta penerimaan terhadap golongan menyalahi fitrah manusia seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Perkembangan ini amat membimbangkan saya dan sebagai ketua agama negeri (Pahang), saya menyeru kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa bagi membanteras perkara ini daripada terus berleluasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal mahu Kerajaan Pahang mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya mengharapkannya daripada sumber hutan dan bahan mineral.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dengan kerjasama kerajaan negeri dapat mengenal pasti sumber kekayaan baharu di Pahang bagi mengurangkan kebergantungan pada sumber mineral dan sumber asli semata-mata. Usaha ini penting dalam membawa perkembangan dan pemantapan ekonomi Pahang.

“Dalam kita mengejar peningkatan hasil, saya berharap kawasan hutan di Pahang tidak dijadikan kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata, sebaliknya ia mampu menjadi sumber pendapatan melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistik dan seterusnya memperkasakan sektor ekopelancongan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar prinsip integriti sentiasa menjadi pegangan semua yang terbabit secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan memberi keutamaan terhadap interaksi bersama rakyat bagi mendapatkan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dasar dan tadbir urus baik adalah kunci kepada kemakmuran yang boleh dinikmati semua rakyat. Maka, adalah penting sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri untuk memiliki integriti yang tinggi.

“Kerajaan negeri juga perlu meneliti semula keperluan pembangunan infrastruktur mengikut keutamaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Agihan (peruntukan) pembangunan haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengabaikan rakyat di kawasan luar bandar,” titah baginda.

Tengku Hassanal turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengumumkan pemulangan sebanyak 50 peratus cukai pelancongan kepada Pahang yang sudah pasti dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan aktiviti pemuliharaan, menaik taraf, menyelenggara serta meningkatkan lagi kemudahan pelancongan di negeri ini.

Ayuh Gantikan “Netizen” Dengan “Wargamaya”

Ayuh, mulai sekarang kita gunakan perkataan bahasa Melayu “wargamaya” sebagai ganti kepada perkataan Inggeris “netizen” di dalam penulisan bahasa Melayu.

Di dalam penulisan santai, ada kalanya kita mencampur adukkan perkataan Inggeris ke dalam penulisan bahasa Melayu. Mungkin apa yang disebut sebagai ‘bahasa rojak’ ini kini diterima di dalam konteks penulisan tidak rasmi, namun tidak boleh dinafikan bahawa ianya boleh mncacatkan keindahan bahasa kita.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan identiti negara; di mana bahasa menggambarkan imej bangsa kita dan bahasa Melayulah yang menyatukan kita semua. Memartabatkan bahasa kebangsaan bukanlah terhad kepada bulan Oktober sahaja, iaitu bulan Bahasa Kebangsaan Malaysia namun sebagai rakyat Malaysia yang patriotik kita mesti pada setiap masa cuba sedaya upaya untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Tidak salah untuk kita mengguna dan mempelajari bahasa asing, tetapi kita mesti ingat bahawa kita perlu selalu membawa imej jati diri negara bangsa kita.

Satu Penghargaan

Pada 22hb Januari yang lalu, saya telah mencadangkan satu perkataan baharu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka melalui laman Gerbang Kata DBP. Perkataan yang saya cadangkan ialah “wargamaya”, bermakna pengguna-pengguna media sosial atau warga alam maya.

Saya terdetik untuk mencadang perkataan ini setelah membaca tulisan-tulisan di internet, di mana penulis-penulis di alam maya menggunakan istilah-istilah seperti “netizen” atau “warganet” di dalam penulisan Bahasa Melayu untuk merujuk kepada warga alam maya, namun istilah-istilah tersebut tidak diiktiraf atau diterima oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang merupakan badan rasmi kerajaan Malaysia untuk menggerak dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Alhamdulillah, saya telah menerima satu e-mel balas daripada pihak DBP, yang memaklumkan bahawa mereka telah menerima cadangan saya, dan perkataan “wargamaya” yang saya cadangkan itu telah dikategorikan sebagai “kata masukan baru” DBP. Ini adalah suatu kejayaan yang sangat besar etinya bagi saya. Saya sangat bersyukur, terkejut, gembira dan terharu.


Saya ingin mengucap jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada DBP, yang telah menerima cadangan yang saya suarakan kepada mereka.

Berbanding dengan istilah seperti “netizen” dan “warganet”, “wargamaya” merupakan sebuah perkataan yang sepenuhnya berasal daripada Bahasa Melayu, memandangkan perkataan“netizen” dan “warganet ” adalah gabungan dua perkataan yang mempunyai asal usul daripada perkataan Bahasa Inggeris.

Saya mahukan perkataan baharu yang saya reka itu mempunyai terjemahan yang tepat, berasal daripada Bahasa Melayu, mudah disebut dan difahami. Membaca Kamus Dewan Edisi Keempat, saya mendapat ilham untuk mengambil dua perkataan yang sedia ada, iaitu “warga” dan “alam maya” dan menggabungkannya menjadi satu perkataan baharu iaitu “wargamaya”. Ini ialah kerana perkataan “warga” bermaksud, ahli suatu keluarga, syarikat, dan lain-lain; manakala perkataan “maya” bermaksud sesuatu yang kelihatannya ada tetapi sebenarnya tidak ada, ataupun sesuatu yang berkaitan dengan komputer dan Internet.

Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kerana mengambil berat tentang hal ini dan menerima cadangan saya, walaupun saya hanyalah seorang pelajar.

Ini menunjukkan sikap professionalisme DBP yang tidak langsung mendiskriminasikan faktor usia dan bersedia menerima cadangan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

Bahasa Jiwa Bangsa

%d bloggers like this: