Rome Statute of the International Criminal Court atau Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ringkasnya Statut Rom) ialah sebuah perjanjian bagi menubuh dan mengiktiraf International Criminal Court (ICC) atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang berpusat di Belanda. Perkara 4(1) Statut Rom memperuntukkan ICC sebagai sebuah “International Legal Personality“, iaitu mahkamah yang mempunyai bidangkuasa ke atas seluruh Negara-negara Pihak Statut Rom.
Statut Rom telah banyak diperkatakan di negara kita apabila Malaysia menandatangani perjanjian ini pada 4hb Mac 2019. Ramai rakyat merasakan bahawa ianya satu cara untuk meruntuhkan Institusi Diraja di Malaysia. Oleh kerana perkara ini telah dibincangkan secara panjang lebar, maka, saya tidak akan menghuraikan Statut Rom dari aspek ini secara terperinci.
Namun, persoalan yang merisaukan saya ialah apakah kedudukan agama Islam di Malaysia boleh terjejas dan dicabar oleh perjanjian ini? Perkara ini amat penting memandangkan Islam ialah agama bagi Persekutuan seperti apa yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Dan apakah ICC nanti boleh membicarakan kembali kes-kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah?
Perkara 21 Statut Rom menegaskan bahawa undang-undang yang akan diguna pakai oleh ICC ialah, pertama sekali Statut Rom itu sendiri, kemudiannya undang-undang antarabangsa dan setelah itu barulah undang-undang Negara Pihak itu sendiri. Oleh itu, undang-undang antarabangsa akan diberi ketuamaan melebihi undang-undang sesebuah Negara Pihak. Soalnya, setakat manakah ICC dapat memberi keadilan kepada kes-kes yang melibatkan struktur masyarakat yang unik seperti di Malaysia, di mana sejarah dan latar belakang negara dibentuk di atas tiga tiang asas iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu; dan juga berlandaskan kontrak sosial di antara orang Melayu Bumiputera dan kaum-kaum lain?
Soalnya, jika kes-kes yang berkaitan dengan Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu ataupun kontrak sosial dibicarakan di ICC, apakah hakim-hakim di mahkamah tersebut mempunyai kefahaman yang baik tentang agama Islam, Perlembagaan Persekutuan dan latar belakang sejarah negara bangsa yang mencukupi memandangkan kebanyakan daripada mereka berasal terutamanya daripada Eropah dan diikuti oleh Afrika? Sedangkan selaras dengan perlaksanaan hak asasi manusia, hal-hal seperti adat istiadat, budaya, agama dan sejarah sebuah negara bangsa itu haruslah diambil kira di dalam sesebuah penghakiman. Buktinya, Perenggan 5 Bahagian I Vienna Declaration and Programme of Action, menggariskan bahawa perkara-perkara tersebut harus diambil kira di dalam perlaksanakan hak asasi manusia.
Jika penghakiman ICC boleh mengatasi penghakiman Mahkamah Persekutuan yang kini merupakan Mahkamah tertinggi negara, ini bermakna bahawa kes-kes yang telah diputuskan di Mahkamah Syariah juga boleh dibicara semula di ICC. Apakah hakim-hakim dari luar negara yang berkemungkinan besar tidak faham tentang undang-undang Syariah dan sistem perundangan Negara mampu memberikan penghakiman yang adil? Jika benar persoalan ini, ianya jelas bercanggah dengan prinsip asas sistem kehakiman itu tersendiri.
Perkara 27(1) Statut Rom menjelaskan bahawa Ketua Negara atau Negeri (Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja-Raja Melayu), Ketua kerajaan (Perdana Menteri), ahli kerajaan atau parlimen, wakil yang dipilih atau seorang pegawai kerajaan tidak boleh dikecualikan daripada dituduh di mahkamah ini atau dikurangkan hukumannya.
This Statute shall apply equally to all persons without any distinction based on official capacity. In particular, official capacity as a Head of State or Government, a member of a Government or parliament, an elected representative or a government official shall in no case exempt a person from criminal responsibility under this Statute, nor shall it, in and of itself, constitute a ground for reduction of sentence.
Nampaknya, benarlah bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja-Raja Melayu yang juga merupakan Ketua agama Islam bagi negeri-negeri boleh didakwa di ICC.
Perkara 48(1) perjanjian ini pula mengatakan bahawa ICC mempunyai keistimewaan dan kekebalan di dalam Negara-negara Pihak bagi melaksanakan tugasnya. Ini bermakna Statut Rom akan membuka pintu kepada pencerobohan kedaulatan negara oleh sebuah badan asing iaitu ICC.
Perkara 120 Statut Rom dengan jelas mengatakan bahawa “No reservations may be made to this Statute”, ataupun, ‘Tiada pengecualian boleh dibuat ke atas Statut ini”. Maka, Negara-negara Pihak mestilah melaksanakan kesemua perkara yang termaktub di dalam Statut ini; dan bukannya seperti perjanjian lain di mana negara anggota dibenarkan membuat beberapa pengecualian bersesuaian dengan keadaan dan suasana setempat.
Tidak semua perkara boleh diadili dengan keputusan yang sama dan cara yang serupa di semua negara. Ianya tertakluk kepada sejarah, latar belakang, adat, budaya, agama dan keadaan masyarakat setempat.
Mungkin atas kesedaran itulah negara-negara seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Filipina telah menarik diri daripada Statut Rom, dan juga mengapa negara-negara seperti Arab Saudi, Singapura, Indonesia, Brunei, China, India, Turki, Iraq dan banyak lagi negara-negara lain tidak menandatangani Statut Rom.
Maka, saya amat bersetuju dengan kenyataan Baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bahawa Statut Rom adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ianya juga ibarat membuka pintu kepada penjajah untuk menjajah Tanah Air kita yang berdaulat ini.