Benarkah Orang Melayu Akan Mundur Akibat Perjuangkan Agama dan Bangsa?

Laungan azan oleh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari berkumandang di Stadium Merdeka menyambut pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957. Sepertimana seorang bayi yang baru dilahirkan disambut dengan laungan azan, begitu jugalah kelahiran Persekutuan Tanah Melayu. Maka pada tarikh bersejarah itu, lahirlah sebuah negara Islam baharu yang berdaulat dan merdeka.

Islam menjadi asas kepada pembinaan negara ini memandangkan sembilan negeri-negeri yang bergabung membentuk Persekutuan Tanah Melayu adalah dibawah pemerintahan Raja-Raja Melayu Islam. Malah, sejak dahulu lagi undang-undang tubuh negeri telah mengangkat Islam sebagai agama bagi negeri, contohnya negeri Johor dan Terengganu.

Namun kini, ada yang mengatakan bahawa jika orang Melayu kekal memperjuangkan agenda agama (Islam) dan bangsa (Melayu), mereka akan terus mundur.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Manakala Perkara 160(2) mendefinasikan orang Melayu antara lainnya sebagai “seseorang yang menganuti agama Islam”. Ini bermakna di antara ciri utama orang Melayu ialah mesti beragama Islam; jika tidak beragama Islam, maka gugurlah identiti Melayu bagi individu tersebut.

Saya sedang membaca sebuah buku yang bertajuk, “Melayu Perkasa”. Buku ini adalah sebuah daripada buku-buku yang dihadiahkan kepada saya oleh penulisnya, Profesor Dr. Sidek Baba, seorang sahabat karib arwah ayah yang saya anggap sebagai guru saya. Di dalam buku ini Dr. Sidek membincangkan tentang betapa pentingnya untuk bukan sekadar menerapkan tetapi juga untuk memelihara jati diri kita sebagai umat Melayu.

Saya amat tertarik dengan apa yang beliau bincangkan di dalam bab keempat yang bertajuk, “Umat Melayu Adalah Cerminan Islam” di mana Dr. Sidek menguraikan bagaimana orang Melayu begitu sinonim dengan Islam sehinggakan dilihat sebagai cerminan imej Islam.

“Oleh itu, bangsa Melayu di Malaysia adalah cerminan yang mendukung imej Islam. Baik fahaman dan amalan Islam di kalangan orang Melayu maka baiklah imej Islam itu sendiri. Sekiranya pada diri orang Melayu tedapat pekerti yang buruk, maka imej Islam juga turut buruk. Ada korelasi yang tinggi antara kehebatan imej Islam pada pandangan orang bukan Islam menerusi watak-watak Melayu yang mereka lihat.”

Ini jelas membuktikan bahawa di Malaysia, orang Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Jika terpisahnya Islam daripada Melayu, maka hilanglah makna Melayu, kerana asas dan teras kepada bangsa Melayu adalah agama Islam. Di dalam bab kelapanbelas yang bertajuk, “Konflik Pemikiran di Kalangan Tenaga Umat”, Dr. Sidek menulis tentang betapa pentingnya asas-asas bangsa Melayu seperti Bahasa Melayu dan agama Islam di dalam kehidupan orang Melayu.

“Sekiranya hal ini berlaku (hilangnya asas-asas bangsa Melayu), teras kekuatan umat Melayu akan beransur-ansur hilang dan menyebabkan fahaman sekular dan liberal mengambil tempatnya. Ianya bakal menghasilkan konflik yang berterusan antara kelompok yang ingin berubah mengikut acuan Barat dengan kelompok yang ingin maju mengikut semangat yang ummatik.”

Islam ialah asas kejayaan. Seperti yang pernah saya katakan, Al-Quran ialah kitab suci yang merungkai segala disiplin ilmu, cuma akal manusia biasa adalah terbatas dan tidak terdaya untuk mengkaji dan memahami segala perkara yang tertulis di dalam Al-Quran. Maka, mana mungkin perjuangan yang berasaskan Islam boleh memundurkan bangsa Melayu? Buktinya, tokoh-tokoh hebat seperti Al-Khwarizmi (Bapa Algebra), Al-Zahrawi yang mempelopori bidang pembedahan, Jabir ibn Haiyan (Bapa Kimia)Al-Haytham (Bapa Optik Moden), Ibnu Battuta, Ibnu Khaldun, Al-Biruni, Ibnu Sina, Al-Khindi dan ramai lagi mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam yang kuat.

Ibnu Sina yang dikenali sebagai Bapa Perubatan Moden merupakan seorang hafiz yang mendalami pembelajaran fiqh. Banyak juga karya-karya yang dikarangnya adalah mengenai falsafah Islam. Di negara Barat, Ibnu Sina lebih dikenali dengan nama yang telah dilatinkan iaitu Avicenna. Malah, tulisan beliau, “Al-Qanun Fi Al-Tibb” telah dicetak semula dengan tajuk, “Avicenna’s Canon Of Medicine” di New York pada tahun 1973.

Agama adalah amat penting kepada kesejahteraan sesebuah negara bangsa. Agama membawa kepada ketaatan, ketaatan membawa kepada kepatuhan kepada undang-undang, kepatuhan kepada undang-undang membawa kepada keseragaman, keseragaman membawa kepada ketamadunan dan ketamadunan membawa kepada kejayaan.

Apakah memperjuangkan agenda Melayu sudah tidak releven lagi pada hari ini? Namun, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menegaskan bahawa BERSATU tegas berjuang mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera; walhal parti ini baru sahaja ditubuhkan.

Bagi orang Melayu Malaysia, hidup kita adalah berteraskan ajaran Islam. Maka sudah tentulah jati diri orang Melayu juga adalah berteraskan agama Islam. Ini bermakna agama Islam adalah asas kehidupan dan perjuangan bangsa Melayu. Maka, di manakah kebenaran dakwaan bahawa orang Melayu di Malaysia akan terus mundur jika mereka menjadikan Islam dan bangsa Melayu sebagai asas dan agenda perjuangan mereka?

Sebuah bangsa tanpa jati diri yang utuh adalah bagaikan sebatang tiang yang reput.

Tulisan berkaitan:

%d bloggers like this: