
[Utusan Online}- PERANCANGAN AWAL hanya perhimpunan kecil-kecilan bagi membantah ICERD. Tetapi manusia merancang, Allah juga merancang.
Perhimpunan kecil Pasir Salak diangkat sebagai perhimpunan peringkat negeri. Diangkat lagi menjadi perhimpunan peringkat kebangsaan. Maka berhimpunlah kira-kira 30,000 di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.
Khemah yang disediakan tidak muat menampung orang ramai yang hadir. Ketika solat Isyak berjemaah terpaksa bersesak dan melimpah-ruah dari kawasan disediakan.

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah malam tadi. – UTUSAN ONLINE /KAMAL BASIR WAHAB
Sebenarnya acara telah pun bermula lebih awal iaitu sebaik selesai solat Maghrib. Ketika itu jumlah hadirin belum cukup besar. Selepas Isyak kawasan padang Aman Jaya mulai menyaksikan limpahan orang ramai.
Memang mudah untuk melihat mereka yang hadir datang parti mana. Selain pakaian, karaktor juga membezakan mereka ahli UMNO atau Pas.
Namun mereka tidak kekok untuk bersama, bersalaman dan berbual-bual isu semasa dan sudah pasti tumpuannya adalah membantah ICERD.
Tidak kira yang berkupiah putih, bersongkok hitam, bertengkolok atau kupiah hijau mereka memakai lilit kepala yang terpampang bantahan terhadap tuntutan hak sama rata iaitu pelaksanaan ICERD.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk berucap terlebih dahulu daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Zahid mengambil peluang itu untuk memohon maaf kerana selama 22 tahun beliau dan ahli UMNO diajar untuk membenci parti lain khususnya Pas.
Beliau mengakui kekalahan pada pilihan raya lalu ada hikmah dan kini membawa penyatuan umat Islam.
Hadi pula mengimbau kembali bagaimana peristiwa 13 Mei iaitu tercetusnya rusuhan kaum telah menyatukan pengikut Pas dan UMNO. Dan kini tercetus ICERD yang mencabar hak umat Islam, Melayu dan raja Melayu, ahli dua parti terbesar kembali bertaut silaturrahimnya.
Perhimpunan malam tadi bergema dengan laungan hidup Melayu, hancur ICERD, daulat tuanku dan Allahuakhbar. Memang terasa tegak bulu roma berada perhimpunan sedemikian.
Tetapi itu belum kemuncak. Kemuncaknya adalah pada 8 Disember di Kuala Lumpur. Sejuta umat Islam akan turun ke jalan bagi tujuan yang sama.
Hidup Melayu, hancur ICERD, daulat tuanku, Allahuakhbar laungan sejuta umat Islam Melayu bakal bergema di ibu negara.