Raya Pertama Tanpa Ayah

Sudah hampir dua bulan ayahanda tersayang saya, Allahyarham A. Karim Omar kembali ke rahmatullah dan Hari Raya Aidiladha tahun ini merupakan Hari Raya pertama bagi saya tanpa ayah. Sangat sedih dan pilu rasanya terutama di pagi Raya, namun Allah S.W.T. lebih sayangkan ayah.

Terasa amat ‘kosong’ apabila ayah tiada semasa solat Raya, namun Alhamdlulillah walaupun sangat berat, saya cuba kuatkan hati untuk menghadapinya. Sejak kecil setiap pagi Raya, saya akan mengikut ayah menunaikan ibadah solat sunat Raya di masjid. Lazimnya setelah saya siap memakai baju Melayu, ayah akan membantu saya untuk memakai kain samping sambil mengusik saya. Tetapi pada tahun ini, tiada lagi ayah untuk menolong saya dan tiada lagi usikan ayah.

Namun saya bersyukur kerana saya masih ada ibu dan kakak-kakak yang amat menyayangi saya. Merekalah yang menolong saya memakai kain samping walaupun ibu dan kakak-kakak tidaklah begitu mahir dalam cara pemakaian kain samping. Namun mereka telah bersungguh-sungguh menolong saya memakai kain samping serapi yang boleh.

Mungkin kerana ini adalah Hari Raya yang pertama tanpa ayah, maka saya amat terasa kehilangan dan kekosongan. Walaupun kini tiada lagi ayah yang akan melindungi saya tetapi saya bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana saya masih ada ibu dan kakak-kakak dan juga tempat untuk berlindung. Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah S.W.T. sentiasa dan diletakkan di kalangan roh-roh orang yang beriman.

 

%d bloggers like this: