Ku Li: Tidak Adil Najib Diminta ‘Menjauhkan Diri’

(Berita Harian) – KUALA LUMPUR: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berpandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak perlu ‘menjauhkan diri’ semata-mata untuk menjaga imej parti.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, Najib masih ahli UMNO dan berstatus Ahli Parlimen dipilih rakyat.

Tengku Razaleigh berkata, adalah tidak adil jika Najib diminta ‘menjauhkan diri’ hanya disebabkan beberapa kes mahkamah dihadapinya kerana mungkin ada pemimpin lain dalam UMNO pernah didakwa tetapi masih bertugas.

“Apa yang berlaku (tuduhan dihadapi Najib) jelas memberi kesan kepada parti tetapi semuanya bergantung kepada persepsi dan pandangan orang ramai.

“Soal baik buruk imej parti bukan hanya bergantung kepada seorang pemimpin sahaja, boleh jadi kelakuan semua (pemimpin).

“Pandangan saya, selagi seseorang individu tidak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka dia masih tidak bersalah dan Najib tidak perlu menjauhkan diri daripada parti,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO supaya parti itu menjauhkan diri daripada bekas pemimpinnya yang kini berdepan kes mahkamah.

Antara yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang meminta Najib tidak mencampuri urusan parti seperti dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Tengku Razaleigh berkata situasi Najib ketika ini berbeza daripada Dr Mahathir dan Abdullah kerana bekas Presiden UMNO itu masih Ahli Parlimen yang sah.

“Kita tiada hak untuk menghalang beliau (Najib) bersuara kerana soal dakwaan itu, orang lain (pemimpin UMNO) pun ada yang pernah didakwa tetapi masih memegang jawatan.

“Kalau mahu mengambil kira imej tidak baik, semua (pemimpin) yang pernah didakwa, dituduh juga membawa kesan yang tidak baik (kepada UMNO), bagaimana semua itu nak dijadikan ukuran?

“Justeru, soal mahu aktif atau tidak semuanya terpulang kepada individu itu sendiri kerana setahu saya, parti tidak mempunyai peraturan (menghalang) kecuali yang pegang jawatan (dalam parti) akan diminta berundur,” katanya.

%d bloggers like this: