Setiap manusia mempunyai pendapat yang berbeza mengenai sesuatu perkara, tetapi di dalam sesebuah negara yang berteraskan undang-undang, maka kita terpaksa sentiasa mengubah undang-undang dan dasar negara jika setiap pendapat berbeza tentang perkara dasar mesti diraikan. Malah, undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan bahawa kebebasan bersuara adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada perkara-perkara yang telah ditetapkan.
Negara kita tidak pernah mengiktiraf perjuangan komunis diatas sebab-sebab yang amat jelas. Memang terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan perkara ini. Mereka mahukan sejarah negara kita ditulis semula untuk mengangkat pengganas komunis dan pejuang berhaluan kiri sebagai sebahagian daripada pejuang kemerdekaan.
Namun, apakah mereka yang mahukan sejarah ditulis kembali mengikut acuan mereka ini memahami sejarah negara bangsa kita? Adakah fakta-fakta yang mereka kemukakan itu disokong oleh pakar-pakar sejarah yang mempunyai kredibiliti tentang perkara ini? Apakah kajian-kajian tentang sejarah tanah air yang telah mereka rujuk untuk menyokong cadangan mereka itu? Dan jika mereka hanya berpandukan kepada pendapat mereka sendiri, apakah mereka mempunyai kredibiliti untuk memberi cadangan supaya kerajaan mengubah fakta sejarah yang mana akan melibatkan ideologi negara?
Menurut pakar sejarah tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, orang yang menentang undang-undang tidak boleh dianggap sebagai wira. Menurut beliau lagi, adalah tidak benar bila dikatakan komunis berjuang menentang British untuk membebaskan negara kerana yang ditentang komunis ialah kerajaan Tanah Melayu. Contohnya, apabila pengganas komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong, itu bermakna mereka memerangi kerajaan Tanah Melayu dan bukannya kerajaan British. Ini ialah kerana British bukanlah pemerintah Tanah Melayu ini, tetapi British hanyalah pekerja dan dibayar gaji daripada hasil negara ini dan bukannya dibayar gaji oleh kerajaan British di England.
Tan Sri Khoo Kay Kim menambah bahawa, “parti komunis mahu (me)wujudkan Order Komunis Dunia; (di mana) tiada negara bangsa, tiada sempadan politik, seluruh dunia adalah dunia komunis”. Apakah perjuangan itu yang mereka maksudkan sebagai perjuangan untuk memerdekakan negara?
Seperti yang selalu ditegaskan oleh Tan Sri Khoo Kay Kim, negara-negara di Tanah Melayu yang diperintah oleh sembilan Raja-Raja Melayu adalah negara-negara merdeka dan berdaulat; dan tidak dijajah oleh British. Tanah yang dijajah British atau didalam dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu disebut sebagai” jajahan takluk Baginda Queen” hanyalah Negeri-negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang.
Janganlah bertindak bagai tikus membaiki labu. Rujuklah kepada pakar-pakar sejarah negara seperti Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam yang jauh lebih arif berkenaan sejarah negara untuk memahami sejarah negara bangsa.
Related Post:
- Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia
- Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat
- Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia