KJ Bertanding Presiden UMNO?

(UTUSAN) – KUALA LUMPUR 17 Jun – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, dijangka mengumumkan hasrat bertanding bagi jawatan Presiden UMNO, hari ini.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Rembau itu akan mengemukakan pencalonannya hari ini yang merupakan tarikh akhir untuk berbuat demikian bagi bertanding dalam pemilihan UMNO 2018.

Difahamkan, Khairy akan membuat kenyataan pada hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut mengesahkan bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.

Turut mengumumkan untuk bertanding jawatan tersebut sebelum ini ialah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu menurut laman web UMNO Online, Ibu Pejabat UMNO telah membuka kaunter khas hari ini bagi memudahkan ahli-ahli UMNO yang berhasrat untuk bertanding dapat menghantarnya secara terus.

Kaunter penghantaran borang ini dibuka bermula pukul 8 pagi dan akan ditutup pukul 5 petang ini iaitu serentak dengan tamatnya masa penghantaran borang pencalonan untuk pemilihan UMNO.

Related Articles:

  1. Mengapakah Tun M Pilih KJ?
  2. KJ Gagal Jiwai Asas Perjuangan UMNO?
  3. Khairy, A Trojan Horse?

Ku Li Tanding Jawatan Presiden UMNO

[Berita Harian}- KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Jalan Langgak Golf, di sini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti dan memperhalusi, terutama soal kepemimpinan.

“Saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO, saya yakin dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi dan bercadang untuk memastikan UMNO sebagai pembangkang setia bertanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Beliau, yang juga dikenali sebagai Ku Li, pernah menjadi Menteri Kewangan pada 1976 hingga 1984.

Pada usia 81 tahun, Ku Li adalah wakil rakyat paling lama selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang dimenangi pada 1974, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Sehingga kini, pemangku Presiden merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah satu-satunya individu yang dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.

Pada peringkat Timbalan Presiden pula, dua nama sudah mengesahkan untuk bertanding iaitu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir pada sidang media tadi ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani .

Related Articles:

  1. Mengapa Perlu Saya Merangkak Ke Dr Mahathir, Kata Ku Li
  2. Mengapakah Tun M Pilih KJ?

Agong: Institusi Raja Jangan Diambil Mudah, Diperbuat Sesuka Hati

BERNAMA – KUALA LUMPUR 14 Jun – Rakyat diminta tidak mengambil mudah dan diperbuat sesuka hati institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam amalan Raja Berperlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah, ini kerana ia adalah institusi yang diiktiraf secara terang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, baginda bertitah, hal itu perlu diambil berat oleh semua pihak dan tidak mengikut budaya masyarakat Barat yang tindakan mereka bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya kepada negara.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong pada hemat Beta, sewajibnya bukan sekadar diambil daripada sudut simbol semata-mata namun ketahuilah institusi ini ada tanggungjawab amat besar, apabila berlakunya sesuatu krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak menjadi kemudaratan kepada rakyat dan negara,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, malam ini.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.

Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulur tangan saling bermaaf-maafan dalam menyambut ketibaan 1 Syawal.

Sultan Muhammad V juga bertitah rakyat perlu menyuburkan budaya kunjung mengunjung di hari yang mulia ini bagi mengeratkan silaturahim.

“Hentikanlah dan lupakan pertelingkahan sesama umat sempena hari yang mulia ini. Jauhi fitnah memfitnah kerana dosa fitnah lebih dashyat daripada membunuh,” titah baginda.

Baginda turut bertitah bahawa masyarakat Melayu Islam khususnya akan hanya kekal diberkati jika bersendikan adat dan bertunjangkan syarak.

“Justeru, sempena menyambut Hari Lebaran Syawal yang mulia ini, jadikanlah apa yang Beta titahkan ini sebagai satu pesanan yang bermakna daripada raja kepada rakyat dan negara yang dikasihi.

“Beta harapkan semoga dengan tarbiah di madrasah Ramadan selama sebulan mampu menjadikan kita insan bertaqwa dan kembali kepada fitrah, yang bakal melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berintegriti untuk memacu reformasi ke arah mencapai negara maju.

“Makmur dan mendapat pengampunan Allah (Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur),” titah baginda.

Dalam titah baginda, Sultan Muhammad V turut berpesan kepada rakyat yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya mengutamakan keselamatan dalam perjalanan.

“Berhati-hati memandu, elakkan kemalangan supaya kita tidak bersedih dalam kegembiraan.

“Harapan beta semoga sambutan Aidilfitri kali ini memberi makna dan impak yang besar kepada kita dalam melaksanakan tugas sebagai hamba Allah Subhanahu Wata’ala dan khalifah di bumi Allah ini,” titah baginda.

Mana Batas-Batas Kamu, Bekas Presiden Majlis Peguam Soal Majlis Penasihat Kerajaan

PETALING JAYA: Dua bekas presiden Majlis Peguam hari ini tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Penasihat Kerajaan memanggil dan meminta 2 hakim tertinggi meletak jawatan.

Mereka berkata majlis itu, yang ditubuhkan untuk menasihati kerajaan berkenaan perkara ekonomi dan kewangan, sudah melampaui batas.

Mereka juga berkata tindakan majlis itu jelas sekali satu pencabulan kedaulatan undang-undang dan sama seperti “campurtangan cabang eksekutif dalam hal ehwal cabang kehakiman”.

Zainur Zakaria berkata majlis sudah melakukan kesalahan apabila mendesak peletakan jawatan Tun Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang akan meletakkan jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan berkuatkuasa 31 Julai.

Beliau berkata perkembangan ini akan menetapkan duluan berbahaya.

“Isu keperlembagaan pelantikan itu atau sebaliknya patut ditentukan di Mahkamah Persekutuan,” katanya, merujuk kepada tuntutan undang-undang yang dibuat oleh Majlis Peguam dan Persatuan Peguambela Sarawak.

Zainur berkata walau betapa tidak gembiranya orang tertentu terhadap pelantikan itu, perkara itu mesti diselesaikan menurut proses undang-undang.

“Tidak kiralah berapa ramai pakar undang-undang berpandangan pelantikan mereka berdua tidak berperlembagaan. Terdapat 2 pandangan berbeza di sini. Jadi bagaimana kita tentukan pandangan yang betul?

“Keperlembagaan pelantikan itu atau sebaliknya bukan ditentukan dengan menerima hujah satu pihak semata-mata.”

Zainur menambah kerajaan mesti tidak boleh secara tidak sengaja berkelakuan seperti Barisan Nasional yang dituduh tidak pedulikan kedaulatan undang-undang.

Beliau menjawab kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertahankan Pengerusi Tun Daim Zainuddin yang memanggil para hakim terlibat dan menuntut mereka meletak jawatan.

Seorang lagi bekas presiden, Param Cuaraswasmy berkata orang ramai berhak mengetahui batas-batas majlis itu kerana ia satu badan pentadbiran yang ditubuhkan selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah dan sebelum Kabinet separa penuh ditubuhkan.

“Sehingga hari ini orang ramai tidak tahu apakah terma rujukan badan itu, itupun jika ada. Selain itu, selaku satu badan penasihat, apakah wajar majlis atau mana-mana anggotanya memberi kenyataan terbuka tentang mesyuarat dan penemuan mereka setiap masa?” katanya.

Param berkata tindakan Daim memanggil 2 hakim dan meminta mereka meletak jawatan ternyata melemahkan prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang dalam sebuah kerajaan berperlembagaan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sebelum ini berkata sokongan Dr Mahathir kepada majlis itu tindakan yang tidak bijak dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Ramkarpal berkata tidak salah mengkritik pelantikan Raus dan Zulkefli tetapi bukan memanggil dan menuntut mereka meletak jawatan.

“Perlembagaan ada menetapkan cara menyingkirkan hakim. Ini mesti dipatuhi setiap masa selaras kedaulatan undang-undang,” katanya.

Mengapakah Tun M Pilih KJ?

 

Kita mungkin tertanya-tanya kenapakah pemimpin PH bersungguh-sungguh mempopularkan KJ?

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia PPBM, Syed Saddiq, merangkap Ahli Parlimen Muar, baru-baru ini mempertahankan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mengatakan bahawa Khairy Jamaluddin (KJ) adalah calon terbaik Presiden UMNO.

Menjawab komen KJ tentang hal itu, Syed Saddiq membuat satu lagi kenyataan bertegas bahawa Tun M bukannya menyindir KJ.

Dalam temuramah bersama laman web Berita Daily, orang yang sama pernah memuji KJ dan mengatakan bahawa beliau mengaguminya.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pula mencadangkan agar KJ membentuk parti berbilang kaum bagi menyeimbangi Pakatan Harapan (PH).

Malah dari dahulu pun, pihak PH atau dahulunya Pakatan Rakyat sangat meminati KJ.

Dan kini KJ dipromosikan oleh pemimpin kanan PH sebagai pemimpin pembangkang yang layak untuk mendepani PH.

Masakan pemimpin politik yang waras mahu musuh politik mereka mengalahkan mereka?

Maksudnya, tidak mungkin Tun Dr. Mahathir dan Syed Saddiq menggesa KJ untuk jadi Presiden UMNO, jika tidak demi keuntungan mereka, iaitu menjatuhkan UMNO.

Melainkan jika kedua-dua Tun Dr. Mahathir dan Syed Saddiq mahukan UMNO yang kuat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan!

Saya tidak tahu secekap mana Syed Saddiq berpolitik tetapi kita semua tahu bahawa Tun Dr. Mahathir ialah tokoh politik yang cekap dalam percaturan politik; maka sudah tentu Tun mempunyai sebab yang kukuh apabila memilih KJ sebagai calon terbaik Presiden UMNO.

Mungkinkah Tun masih menganggap KJ sebagai calon terbaik Presiden UMNO jika Tun masih setia bersama UMNO?

Related Article:

  1. KJ Gagal Jiwai Asas Perjuangan UMNO?
  2. Khairy, A Trojan Horse?

KJ Gagal Jiwai Asas Perjuangan UMNO?

Ada yang berkempen mahukan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) dipilih sebagai Presiden parti di dalam pemilihan UMNO nanti.

Mereka merasakan untuk memenangi hati pengundi, maka Presiden UMNO mestilah orang muda dan mengamalkan dasar populism tanpa mengira akibatnya kepada agama, bangsa dan tanah air.

Menariknya, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir baru-baru ini juga menggesa KJ untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Sebabnya, kenalah tanya Tun sendiri!

Walaupun saya hanya seorang pemerhati dan bukannya ahli UMNO, saya tahu dasar perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air seperti yang tertulis di dalam perlembagaan parti dan juga dalam seni kata lagu UMNO.

Maka Presiden UMNO mestilah mempunyai jati diri Melayu, berjiwa Melayu dan sayangkan agama Islam dan tanah air serta faham sejarah Tanah Melayu.

Saya terkilan apabila KJ mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada semua kaum dan disambut baik oleh mereka yang berpendirian sama seperti beliau.

Adakah KJ merasakan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air sudah tidak boleh diterima lagi atau ‘outdated’, atau KJ yang ‘out of touch’ dengan hati orang Melayu yang setia mengundi UMNO?

Juga, kenapa KJ tidak menyuarakan perkara ini semasa beliau masih menjadi Menteri Belia dan Sukan?

Dulu yang dihasratkan oleh KJ hanyalah politik baru, contohnya KJ memilih Regina Lee sebagai SUA, orang luar yang bukan penyokong parti dan tiada jiwa perjuangan parti.

Apakah itu satu tindakan yang bijak?

Pada tahun 2014, saya telah menulis sebuah artikel bertanya bagaimana KJ sanggup melancarkan buku yang ditulis oleh seorang aktivis COMANGO dan setiausaha agung Proham di dalam sebuah gereja?

Sedangkan COMANGO lantang menentang Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu yang diperjuangkan oleh parti KJ iaitu UMNO. (Sila baca di sini)

Lebih teruk lagi, majlis itu berlangsung di dalam Gereja DUMC yang pernah menghentam UMNO iaitu parti KJ sendiri kerana kes serbuan JAIS pada 4 Ramadhan 2011 di mana JAIS bertindak selepas mendapat aduan tentang majlis yang meragukan.

Tindakan KJ itu telah menyebabkan rakyat yang mahu mempertahankan dasar kerajaan Islam di Malaysia marah terhadap UMNO; padahal merekalah di antara orang yang mengundi UMNO.

Bagi saya, KJ telah menikam UMNO kerana sebagai menteri UMNO, tindakan KJ dianggap sebagai polisi UMNO.

Jelas KJ tidak mampu mengangkat agenda Islam dan Melayu yang merupakan asas perjuangan parti UMNO!

Kegagalan KJ dan Ketua Puteri UMNO untuk meraih undi orang muda adalah di antara faktor besar yang menyebabkan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.

Sepatutnya, beliau seperti Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrizat haruslah bertanggungjawab dan bukannya mencari kesalahan orang lain khasnya menyalahkan Dato’ Seri Najib yang telah menyokongnya selama ini.

Tindakan Dato’ Seri Najib meletak jawatan setelah kekalahan BN, dan keputusan Tan Sri Shahrizat untuk tidak bertanding pada pemilihan UMNO kali ini adalah satu tindakan pemimpin yang matang dan bertanggungjawab.

Manakala KJ sebagai Ketua Pemuda yang gagal membawa undi orang muda kepada UMNO dan antara penyebab kepada kekalahan BN, bukan sahaja mahu bertanding jawatan yang lebih tinggi, malah sibuk menyalahkan orang lain.

Contohnya, di bawah tajuk, “KJ mengaku 1MDB punca UMNO tumbang” Astro Awani melaporkan:

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui parti keramat Melayu itu tumbang kerana kegagalan menteri terdahulu menegur Presidennya yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang skandal 1MDB – Astro Awani.

KJ sebagai Ketua Pemuda sepatutnya mempertahankan UMNO dan Presiden UMNO dari hari pertama UMNO dan Datuk Seri Najib diserang tetapi KJ gagal sehingga orang ramai percaya kepada persepsi lawan; dan sekarang KJ sendiri mempertikaikan dan menuduh orang yang menyokongnya selama ini, laksana menggigit tangan yang menyuapkan nasi.

Inikah sikap calon Presiden UMNO atau Ketua Pembangkang?

Buat pertama kali saya bersetuju dengan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, bahawa KJ mesti tinggalkan UMNO, dan bentuklah sebuah parti baru yang berbilang kaum.

DAP dan PAS tidak pernah mengubah dasar perjuangan parti mereka biarpun mereka berkali-kali kalah di dalam pilihan raya.

Semoga UMNO kekal dengan dasar perjuangan parti dan dipimpin oleh pemimpin yang faham dan menjiwai dasar perjuangan UMNO.

%d bloggers like this: