Singkirkan Petualang Dalam UMNO – Tengku Razaleigh

22 06 2018

[Berita Harian}- SHAH ALAM: Perwakilan UMNO di seluruh negara perlu menggunakan pemilihan parti pada hujung bulan ini untuk menyingkirkan petualang dalam parti, kata calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li bagaimanapun enggan menyebut nama petualang itu, namun beliau yakin perwakilan tahu pihak yang dimaksudkannya itu.

“Dalam UMNO ramai petualang dan kita kena lakukan ‘pembersihan’ dalaman. Petualang ini menggunakan kedudukan dalam parti untuk kepentingan diri sendiri, saudara-mara dan kawan-kawan.

“Disebabkan petualang inilah rakyat marah dan benci dan terhadap UMNO. Tiada guna diadakan pemilihan jika akhirnya barisan kepemimpinan yang dipilih tiga atau enam tahun lalu dipilih sekali lagi,” katanya.

“Ahli UMNO atau rakyat di luar sana mahukan orang lain untuk memimpin parti, bukannya mengangkat sekali lagi barisan pemimpin ketika era pentadbiran Najib (Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh di sini, malam tadi.

Antara yang hadir memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh ialah Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari; Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun; Ketua Umno Bahagian Pandan, Datuk Mohd Haniff Koslan; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahri.

Tengku Razaleigh juga berkata, beliau sudah bersedia untuk bersemuka sekali lagi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad jika dipilih menerajui UMNO.

“Begitu juga sebagai ketua pembangkang di Parlimen, kita tunggu dahulu, kita tengok siapa menang jawatan (Presiden UMNO). Selepas itu baru saya fikir untuk terima (ketua pembangkang),” katanya.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata hanya Tengku Razaleigh yang mampu mengetuai UMNO untuk ‘melawan’ serangan Dr Mahathir, Tun Daim Zainudin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lima calon yang bakal bertanding jawatan tertinggi parti ialah Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Advertisements







%d bloggers like this: