Ku Li Tanding Jawatan Presiden UMNO

[Berita Harian}- KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Jalan Langgak Golf, di sini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti dan memperhalusi, terutama soal kepemimpinan.

“Saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO, saya yakin dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi dan bercadang untuk memastikan UMNO sebagai pembangkang setia bertanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Beliau, yang juga dikenali sebagai Ku Li, pernah menjadi Menteri Kewangan pada 1976 hingga 1984.

Pada usia 81 tahun, Ku Li adalah wakil rakyat paling lama selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang dimenangi pada 1974, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Sehingga kini, pemangku Presiden merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah satu-satunya individu yang dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.

Pada peringkat Timbalan Presiden pula, dua nama sudah mengesahkan untuk bertanding iaitu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir pada sidang media tadi ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani .

Related Articles:

  1. Mengapa Perlu Saya Merangkak Ke Dr Mahathir, Kata Ku Li
  2. Mengapakah Tun M Pilih KJ?
%d bloggers like this: