Kapal Equanimity Sudah Dipulangkan? Apa Dah Jadi Ni!?!?

[UTUSAN ONLINE}- KUALA LUMPUR 18 April – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Indonesia akan mematuhi keputusan Mahkamah Jakarta Selatan supaya segera mengembalikan kapal Equanimity kepada pemiliknya.

Brigedier Jeneral Polis, Dr. Rudi Heriyanto Adi berkata, keputusan yang diputuskan mahkamah semalam adalah bersifat muktamad dan pihaknya tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang tindakan atau hukuman.

Katanya, ini berdasarkan fakta-fakta yang telah dibentangkan dalam mahkamah berkenaan yang dapat disimpulkan bahawa pemilik kapal pesiaran Equanimity yang sah adalah Equanimity (Cayman) Ltd. dan tidak ada kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Republik Indonesia akan mematuhi perintah Mahkamah Jakarta Selatan untuk segera mengembalikan kepada pemiliknya iaitu Equanimity (Cayman) Ltd.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Jakarta Selatan semalam memutuskan penahanan kapal layar mewah Equanimity oleh polis republik berkenaan sebagai tidak sah dan mengarahkan dikembalikan kepada pemiliknya.

Portal berita Detik.com melaporkan, Hakim Mahkamah Jakarta Selatan, Ratmono berkata, penahanan yang dibuat oleh polis tidak mengikut lunas undang-undang dan tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran daripada Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia terlebih dahulu.

Jelas Ratmono semasa perbicaraan kes berkenaan, pihaknya mengisytiharkan tindakan merampas oleh polis sebagai tidak mengikut lunas undang-undang dan tidak sah.

Pada 28 Februari lalu kapal layar berkenaan dikatakan milik ahli perniagaan Malaysia Low TaekJho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dirampas sebagai sebahagian daripada penyiasatan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, yang bermula pada 2016, terhadap 1MDB. – UTUSAN ONLINE

%d bloggers like this: