Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, atau lebih dikenali sebagai pindaan Akta 355. Dalam kenyataan media yang dimuatnaikkan di laman facebook beliau, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Bagan itu membuat berberapa tuduhan liar dan bersifat fitnah terhadap pindaan Akta 355, termasuk tuduhan basi seperti ‘pindaan ini tidak berperlembagaan’.
Kenyataannya itu jelas membuktikan bahawa bukan sahaja Lim Guan Eng buta Perlembagaan, malah lebih parah lagi, Setiausaha Agung DAP itu nampaknya langsung tidak memahami sistem pengundian di Parlimen. Amat memalukan bagaimana seorang Ahli Parlimen tidak faham sistem undian di Parlimen. Apakah Lim Guan Eng tidak pernah mengundi di Parlimen sebelum ini? Lebih memalukan lagi ialah apabila Lim Guan Eng cuba bertindak mengulas hal-hal yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan, seolah-olah dia adalah pakar dalam bidang tersebut namun jelas terbukti betapa dangkal dan tidak berasasnya hujah Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Lim Guan Eng menabur fitnah bahawa pindaan Akta 355 ini tidak berpelembagaan walaupun pelbagai penerangan telah dibuat untuk memperjelaskan perkara ini. Beliau juga mempertikaikan cara pengundian yang telah ditetapkan untuk pindaan Akta ini dengan memberi pelbagai sebab untuk mempertahankan kenyataannya. Namun, apakah Lim Guan Eng sebagai seorang Ahli Parlimen betul-betul tidak tahu tentang peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan dengan jelas tentang perkara ini? Perkara 62(3) Perlembagaan Persekutuan, Tatacara Parlimen, telahpun mengatakan bahawa untuk meluluskan apa-apa undian, mereka hanya perlu mendapat majoriti biasa daripada ahli parlimen yang mengundi; kecuali jika mereka mahu meminda Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dimaktub di dalam Perkara 159(3) di mana undiannya mestilah tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu.
PERKARA 62(3):
Tertakluk kepada Fasal (4) dan kepada Perkara 89(1) dan 159(3) dan kepada seksyen 10 dan 11 Jadual Ketiga Belas, setiap Majlis Parlimen hendaklah, jika tidak sebulat suara, membuat keputusannya mengikut majoriti biasa ahli-ahli yang mengundi; dan orang yang mempengerusikan itu, melainkan jika dia menjadi ahli Majlis Parlimen itu semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1A) Perkara 57, hendaklah membuang undinya apabila perlu bagi mengelakkan undi sama banyak, tetapi tidak boleh mengundi dalam apa-apa hal lain.
PERKARA 159(3):
Sesuatu Rang Undang-undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal ini) dan sesuatu Rang Undang-undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada sesuatu undang-undang yang diluluskan di bawah Fasal (4) Perkara 10 tidaklah boleh diluluskan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen melainkan jika Rang Undang-undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu.
Oleh kerana pindaan Akta 355 adalah satu pindaan bagi Akta dan bukannya meminda Perlembagaan; maka ianya tidak tertakluk kepada Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang dengan secara harfiahnya dipanggil Pindaan Perlembagaan. Maka di manakah logiknya hujah Lim Guan Eng yang mahukan peruntukan Perlembagaan tentang pindaan Perlembagaan digunakan untuk meminda Akta?
Hujah Lim Guan Eng amat memalukan bilamana seorang yang mempunyai kesetiaan yang agung terhadap parti masih keliru tentang perkara asas ini. Kalaupun had hukuman yang mahu dinaikkan itu menjadikannya lebih tinggi daripada had hukuman lain yang sedia ada dijadikan alasan; bagaimanakah parlimen meluluskan pindaan-pindaan untuk menambah hukuman sebelum ini? Sudah tentulah pernah ada pindaan yang menaikkan had hukuman sesuatu jenayah tertentu melebihi had hukuman yang tertinggi yang ada semasa pindaan tersebut dicadangkan. Perlembagaan Persekutuan tidak melarang perkara ini, malah kita boleh menaikkan had sampai kepada 100 tahun penjara pun, ia tidak ada masalah dari segi Perlembagaan.
Bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Sivil telah di tetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan punca kuasa Mahkamah Syariah datangnya daripada Perlembagaan Persekutuan. Had hukuman Mahkamah Syariah pula tertakluk kepada Akta 355. Kerana itulah untuk meminda Akta 355, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda. Malahan, pindaan ini tidak menyentuh apa-apa perkara yang akan menjejaskan Perlembagaan Persekutuan. Ini lah masalah dengan orang yang buta Perlembagaan tetapi cuba menunjuk pandai dan bercakap tentang perkara yang dia sendiri tidak faham.
One thought on “Lim Guan Eng, Lama Berpolitik Tetapi Masih Buta Perlembagaan”