Jika Zakir Naik disekat, Siti Kasim Juga Perlu Disekat

[Menara.my}- Menara.my, dalam artikel yang bertajuk, “Siti Kasim: Ajaran Dr Zakir Naik Bertentangan Dengan Islam” melaporkan penentangan keras oleh Siti Zabedah Kasim terhadap Dr Zakir Naik yang mana menurut Siti Kasim, membawa ajaran Islam yang bertentangan dari ajaran yang termaktub dalam kitab Al-Quran.

Menurut laporan tersebut, Siti Kasim berkata, “Sebenarnya, kebebasan bersuara yang kami laungkan ini tidak boleh disamakan dengan kes Dr Zakir Naik”. Perkara ini menarik perhatian saya kerana kenyataan itu menunjukkan dengan jelas sikap ‘double standard’ yang diamalkan oleh Siti Zabedah Kasim dalam hal hak asasi manusia, khasnya hak kebebasan bersuara yang diperjuangkannya. Nampaknya, Siti Kasim mahukan hak kebebasan bersuara hanya untuk dirinya dan mereka yang sependapat dengannya sahaja, namun untuk mereka yang tidak menyokong pendapatnya mesti dikenakan batasan dalam hak kebebasan bersuara.

Dalam hal ini Siti Kasim nampaknya terlalu mengikut perasaan dan lupa untuk mencermin dirinya dahulu sebelum bertindak. Jika beliau inginkan sekatan ke atas Dr. Zakir Naik daripada “bebas menyampaikan ajaran serta ceramahnya yang jelas bertentangan dengan landasan Islam sebenar dan prinsip negara”, dia tidak boleh marah dan membuat bising apabila umat Islam mahu Siti Kasim disekat atas sebab-sebab yang sama seperti tuduhannya terhadap Dr. Zakir Naik.

Sebagai aktivis hak asasi manusia yang selama ini menentang semua sekatan yang dikatakan mereka sebagai satu tindakan diskriminasi, sepatutnya Zabedah mempertahankan hak asasi penceramah itu. Malah, selama ini Siti Kasim mempertahankan kebebasan bersuara orang-orang yang menghina hukum Allah. Oleh itu, tindakan Siti Kasim kali ini juga adalah satu tindakan yang tidak adil kerana mendiskriminasikan hak golongan lain.

Seperti mana Siti Kasim mahu Dr. Zakir Naik disekat, saya yakin majoriti umat Islam di Tanah Air kita juga mahukan sekatan yang sama ke atas Siti Kasim atas sebab-sebab yang sama seperti yang diberikannya untuk menyekat Dr. Zakir Naik. Saya menggunakan kata-kata Siti Kasim seperti yang dilaporkan oleh Menara.my dan hanya menukar nama Dr Zakir Naik kepada nama Siti Zabedah Kassim.

Dalam realiti yang berlawanan, kata-kata Dr Zakir Naik mungkin berbunyi, “Berapa ramai yang berminat untuk membuat semakan dan kajian mengenai apa yang Siti Kasim cakap? Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Siti Kasim semuanya boleh dikatakan “Rubbish” (sampah).

Siti Kasim menuduh Dr. Zakir Naik mengajar “Ajaran Islam dan ceramah yang dilakukan Dr Zakir adalah bertentangan dari ajaran Al-Quran yang boleh mengakibatkan perpecahan antara kaum di negara ini”, tetapi sebenarnya itulah yang dilakukan oleh Siti Kasim sendiri. Lebih teruk lagi Siti Kasim juga menolak dan membantah semua autoriti agama, fatwa-fatwa dan ajaran Islam yang sebenar kerana ianya bercanggah dengan tafsiran Islam yang dibuat sendiri.

Dan Siti Kasim juga selalu cuba “memberi fatwa” tentang hukum Islam, walaupun dia bukanlah seorang pakar berkenaan Islam, malah seorang aktivis liberal yang sebenarnya menentang hukum-hukum Islam.

Malah, dia terkenal kerana lantang menentang pemerkasaan institusi-insttusi Islam di Malaysia, contohnya dalam kes Pindaan Akta 355. Dia juga merupakan antara orang yang lantang mempertahankan golongan LGBT di Malaysia walaupun hal itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Hukum Hudud yang belum dapat dilaksanakan pun dikritik oleh Siti Kasim, seolah-olah Islam dan undang-undang Islam adalah tidak adil.

Oleh itu, dimana logiknya Siti Kasim mahu melabelkan orang lain sebagai ekstremis dan menentang ajaran Islam yang sebenarnya, apabila dia sendiri yang menentang Islam selama ini?

Walaupun Siti Kasim mengatakan dia mempunyai hak kebebasan bersuara, tetapi kebebasan bersuara di Tanah Air ini masih ada batasan-batasannya dan ianya tertakluk kepada Akta Hasutan. Adalah bercanggah dengan undang-undang Tanah Air kita jika Siti Kasim menghasut orang ramai untuk menentang autoriti agama, fatwa dan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Tanah Air kita.

Jika Siti Kasim mengatakan Dr. Zakir Naik seorang ekstremis yang menghasut, begitu juga dengan dirinya sendiri kerana liberal juga adalah ekstrem kerana liberalisme bermaksud menolak asas-asas agama dan asas-asas negara.

Advertisement

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

5 thoughts on “Jika Zakir Naik disekat, Siti Kasim Juga Perlu Disekat”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: