Akta 355: Poster Dangkal SIS Forum Tentang Akta 355

img-20161018-wa0001

Poster di atas yang bertajuk, “Memahami Rang Undang-Undang 355 Dan Impaknya” telah dikeluarkan oleh SIS Forum (Malaysia) Berhad untuk membantah cadangan pindaan Akta 355.

Jelas bahawa SIS Forum (Malaysia) Berhad yang lebih suka dikenali sebagai Sisters in Islam tidak memahami atau dengan sengaja mahu mengelirukan orang ramai dengan fakta-fakta yang tidak betul dan tidak tepat berkenaan cadangan pindaan Akta 355.

Sebenarnya SIS Forum amat keliru dan tidak faham perkara yang mereka bangkitkan kerana apa yang mereka dakwa sebagai Rang Undang-Undang (RUU) 355 itu sebenarnya ialah Bil Persendirian cadangan pindaan Akta 355 dan bukannya Rang Undang-Undang 355.

Rang undang-undang mestilah digubal oleh kerajaan Persekutuan dengan syarat tertentu dan dalam hal ini, kerajaan hanya boleh menggubal RUU ini setelah Bil Persendirian pindaan Akta 355 ini diluluskan oleh parlimen.

Saya ingin mengulas poster di atas, ayat bewarna merah ialah kenyataan pada poster SIS Forum Berhad manakala ayat bewarna biru ialah ulasan saya.

Akta 355 merupakan akta berkaitan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.
Seksyen 2 di bawah Akta 355 menjelaskan batas bidang kuasa mahkamah syariah di mana hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah penjara 3 tahun atau denda RM5000 atau 6 kali sebatan atau apa-apa gabungan hukuman tersebut.

SIS Forum mestilah amanah dan mesti menerangkan  perkara-perkara asas yang amat penting tentang Akta 355 dan Seksyen 2 Akta 355.

  • Pertama, SIS Forum mesti menjelaskan bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terhad kepada orang Islam sahaja untuk mengelak kekeliruan di kalangan rakyat yang kurang memahami isu perundangan dan Perlembagaan Persekutuan.
  • Kedua, hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah adalah “sebatan syariah” yang amat jauh lebih ringan daripada “sebatan sivil”.

Apakah cadangan pindaan RUU355?
Parti politik PAS mencadangkan untuk meminda Akta 355 bagi meningkatkan hukuman denda yang dikenakan olen mahkamah syariah, kecuali hukuman mati. Jumlah hukuman yang dikenakan akan ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.” 

  • Cadangan pindaan Akta 355 bukanlah semata-mata mahu meningkatkan hukuman denda. Denda di dalam konteks undang-undang Mahkamah Syariah sekarang bermakna sejumlah wang (tidak melebihi lima ribu ringgit) yang mesti dibayar oleh pesalah.
  • Perkara yang dicadangkan dalam pindaan Akta 355 termasuklah Mahkamah Syariah bukan hanya boleh mengenakan hukuman penjara, denda dan sebatan syariah, tetapi boleh mengenakan berbagai bentuk hukuman-hukuman lain termasuk hukuman sosial jika ianya lebih berkesan.

Apakah impak pindaan ini, jika diluluskan?
-Ia akan memberi kuasa yang lebih luas kepada mahkamah syariah untuk mengenakan hukuman denda kepada pesalah jenayah syariah tanpa batasan kecuali hukuman mati.
-Hukuman yang dikenakan oleh mahkamah syariah selamanya tidak akan selaras kerana ia tertakluk mengikut negeri.
-Kelemahan pelaksanaan hukuman akan memberi nama yang buruk kepada mahkamah syariah dan agama Islam.

Dakwaan SIS Forum adalah prejudis, di luar komteks dan tidak benar. Impak sebenar pindaan ini bila di luluskan ialah Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman yang selaras dengan kadar hukuman Mahkamah Sivil dan DUN boleh menggubal undang-undang yang lebih sesuai bukan hanya untuk menghukum tapi juga untuk mendidik umat Islam supaya menjadi lebih baik di samping mengurangkan jenayah syariah.

  • Menuduh pindaan ini akan “memberi kuasa yang lebih luas kepada mahkamah syariah untuk mengenakan hukuman denda kepada pesalah jenayah syariah tanpa batasan kecuali hukuman mati” adalah satu fitnah jahat kerana bentuk dan had hukuman syariah adalah digubal oleh DUN di peringkat Negeri dan bukannya oleh Mahkamah Syariah itu sendiri.
  • Amat tidak masuk akal bila SIS Forum mendakwa jika pindaan ini diluluskan, impaknya ialah, “Hukuman yang dikenakan oleh mahkamah syariah selamanya tidak akan selaras kerana ia tertakluk mengikut negeri”. Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan kuasa penggubalan Undang-undang Syariah kepada Negeri dan bukannya cadangan pindaan Akta 355 yang mencadangkan perkara ini. Oleh itu, perkara ini tiada kaitan dengan pindaan Akta 355.
  • Amat tidak logik untuk SIS Forum mendakwa satu lagi “impak pindaan ini, jika diluluskan” ialah, “Kelemahan pelaksanaan hukuman akan memberi nama yang buruk kepada mahkamah syariah dan agama Islam” kerana Mahkamah Syariah bukanlah institusi yang melaksanakan hukuman.

Benarkah pindaan ini akan memartabatkan status mahkamah syariah di Malaysia?
Tidak benar, kerana pindaan ini hanya tertumpu kepada aspek hukuman, tanpa menyelesaikan masalah sistemik di mahkamah syariah, contohnya perlaksanaan Undang-undang Keluarga Islam yang masih bermasalah.

Keupayaan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan syariah sudah tentu akan memartabatkan status Mahkamah Syariah.

  • Sekarang had hukuman Mahkamah Syariah jauh lebih rendah daripada hampir semua hukuman jenayah sivil, contohnya hukuman merokok di tempat awam adalah jauh lebih tinggi daripada hukuman jenayah syariah. Apakah SIS Forum merasakan bahawa kesalahan merokok di tempat awam adalah lebih serius daripada kesalahan di bawah Undang-undang Keluarga Islam?

Cara-cara lain untuk memperkasakan mahkamah syariah:
– Menyelaraskan sistem undang-undang keluarga Islam di antara negeri-negeri di Malaysia supaya sama.
– Memudahkan proses tuntutan nafkah bagi ibu-ibu tunggal supaya lebih efisien.
– Mempercepatkan proses perceraian, hak penjagaan anak dan lain-lain supaya tidak berlanjutan sehingga bertahun-tahun.
– Memastikan setiap daerah di Malaysia mempunyai hakim syarie yang mencukupi dan adil gender.

Undang-undang Syariah di Malaysia tidak hanya tertakluk kepada Undang-undang Keluarga Islam sahaja.

  • Cadangan SIS Forum tidak merangkumi cara menyelesaikan kesalahan syariah lain seperti murtad, LGBTIQ, khalwat, menghina Islam, ajaran sesat dan lain-lain.
  • Sistem Undang-undang Keluarga Islam di antara negeri-negeri yang disamakan, proses tuntutan nafkah dimudahkan, proses perceraian dipercepatkan dan setiap daerah di Malaysia mempunyai hakim Syarie yang cukup sahaja tidak boleh memperkasakan Mahkamah Syariah jika had hukuman maksimanya jauh lebih rendah daripada hukuman merokok di tempat awam.
  • Jika SIS Forum berpendapat aspek hukuman tidak penting dalam sistem mahkamah, SIS Forum patut mendesak had hukuman Mahkamah Sivil diselaraskan dengan had hukuman Mahkamah Syariah iaitu terhad kepada 3 tahun penjara, denda 5 ribu ringgit dan 6 kali sebatan syariah.
  • Ataupun, adakah SIS Forum merasakan kesalahan syariah tidak seserius kesalahan sivil maka hukuman sekarang sudah memadai?
  • Sebenarnya cadangan SIS Forum berhubung cara penambahbaikan sistem Mahkamah Syariah sudah pun dilaksanakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri contohnya dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Arahan Amalan Mahkamah Syariah untuk melicinkan proses mahkamah dan Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah pula untuk menggarap modul agar perbicaraan dapat dipercepatkan.

Bolehkah orang Islam membantah RUU355?
Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama berhak menyuarakan bantahan kerana RUU355 adalan pindaan kepada prosedur yang akan memberi kesan kepada kepentingan awam.

  • Pertama, perkara ini berkaitan Bil Persendirian dan bukannya RUU355; jadi kenapa orang Islam harus membantah RUU355 yang tidak wujud?
  • Tidak menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia jika sesiapa sahaja mahu membantah Bil Persendirian ini, walaupun tiada sebab untuk mereka membantah satu pindaan yang membawa kepada kebaikan. Pindaan ini adalah salah satu cara untuk mengurangkan jenayah syariah. Pengurangan jenayah akan memberi kesan positif kepada seluruh rakyat yang cintakan keamanan termasuk juga orang yang bukan beragama Islam.
  • Namun, bagi orang Islam yang membantah bermakna mereka membantah satu usaha untuk mengurangkan jenayah Syariah; manakala bagi orang bukan Islam pula, tiada sebab untuk mereka membantah kerana jenayah syariah hanya melibatkan orang Islam sahaja dan Mahkamah Syariah tidak ada kaitan langsung dengan mereka.

SIS Forum Berhad yang suka menggunakan nama Islam sepatutnya membuat poster tentang pindaan Akta 355 dengan penuh amanah dan berdasarkan fakta yang tepat dan bukannya menggunakan imaginasi mereka untuk memburukkan suatu usaha yang murni untuk memartabatkan perundangan Islam di Malaysia.

Tindakan SIS Forum ini telah memberi nama yang buruk kepada agama Islam kerana mereka seakan memberi gambaran bahawa Mahkamah Syariah tidak harus diberi kuasa yang lebih tinggi dalam menjatuhkan hukuman; seolah-olah Mahkamah Syariah tidak penting dan hakim-hakim Mahkamah Syariah tidak mampu bertindak dengan adil dan amanah.

Related Post:

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

35 thoughts on “Akta 355: Poster Dangkal SIS Forum Tentang Akta 355”

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.