Jawapan Kepada Kenyataan Mengelirukan Khalid Samad Tentang Pindaan Akta 355

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), YB Khalid Samad telah menulis sebuah artikel bertajuk, “Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355″di blognya.

Di bawah adalah jawapan-jawapan saya (biru) kepada artikel tersebut (jingga).


1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

YB Khalid Samad dan PAN tidak patut berdolak-dalik. Jika benar PAN mahu memperkasakan Mahkamah Syariah, maka PAN sepatutnya menyokong pindaan ini. Khalid Samad tentu faham bahawa menaikkan had hukuman jenayah syariah akan menambahbaik Mahkamah Syariah dan bukannya menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

Benar, dan pindaan yang dicadangkan ini tidak bercanggah dengan kenyataan di atas.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku percanggahan sehingga boleh menyebabkan kedudukan dan peranan sediada Mahkamah Syariah terjejas dan terganggu. Pindaan-pindaan yang tidak selari, walaupun berniat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, perlu dielak supaya tidak akhirnya menimbulkan fitnah terhadap mahkamah syariah itu sendiri.

Pindaan ini selari dengan kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah dan “tidak berlaku percanggahan sehingga boleh menyebabkan kedudukan dan peranan sediada Mahkamah Syariah terjejas dan terganggu”. Jadi, tidak ada sebab Khalid Samad dan PAN menolak pindaan ini.

USUL PERSENDIRIAN YB MARANG: MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH?

4. AMANAH telah membuat sidang akhbar pada 6hb Sept dan diikuti dengan penghantaran surat kepada YB Marang selaku Presiden PAS, meminta penjelasan mengenai empat perkara utama berhubung pindaan yang ingin dibawa beliau pada sesi Parlimen bulan Oktober ini. Malangnya soalan yang dikemukakan tidak dijawab dan dengan itu AMANAH terpaksa menentukan pendirian berhubung pindaan yang dicadangkan tanpa menerima apa-apa penjelasan tambahan.

Kesemua soalan PAN sebenarnya telah berkali-kali dijawab oleh pelbagai pihak. Amat jelas bahawa tujuan pindaan Akta 355 adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan mengurangkan kes jenayah syariah dengan menaiktarafkan had hukuman Mahkamah Syariah yang sekarang ini terlalu rendah iaitu 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan syariah. Seolah-olah PAN sengaja menutup telinga, membuat berbagai kenyataan negatif dan mempolitikkan pindaan Akta 355.

5. Pindaan yang dicadangkan YB Marang didapati kabur dan tidak jelas khususnya berhubung apa yang dimaksudkan dengan “memperkasakan Mahkamah Syariah”. Pemerkasaan bagaimana yang ingin dicapai melalui pindaan tersebut? Adakah pemerkasaan yang diinginkan adalah melalui menghilangkan had dan bentuk hukuman yang boleh dijatuhkan, kecuali hukuman mati? Sekiranya itu adalah apa yang dimaksudkan YB Marang maka AMANAH ingin menyatakan bahawa bukan itu yang dimaksudkan DYMM YDP Agung dalam titah Baginda pada bulan Mac lepas semasa pembukaan sesi Parlimen bagi tahun 2016. Adalah jelas DYMM YDP Agung memaksudkan pemerkasaan Mahkamah Syariah dari sudut kecekapan perlaksanaan undang-undang dan bukan memberi ‘blank cheque’ kepada mahkamah syariah.

Titah DYMM YDP Agung
Titah ucapan DYMM YDP Agung di istiadat pembukaan parlimen, 7 Mac, 2016.

Jelas bahawa pemerkasaan Mahkamah Syariah yang dimaksudkan di dalam titah DYMM YDP Agung di istiadat pembukaan parlimen adalah pemerkasaan yang menyeluruh termasuk mempertingkatkan kuasa Mahkamah Syariah. Bagaimanakah dapat diperkasakan Mahkamah Syariah jika had hukuman yang sedia ada adalah terlalu rendah dan tidak seiring dengan peredaran zaman?

Banyak hukuman kesalahan sivil telah dinaiktarafkan berberapa kali selepas kali terakhir Akta 355 dipinda. Contohnya dibawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, had hukuman merokok di tempat dilarang ialah “denda tidak melebihi 10,000 ringgit, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun”, seperti yang tercatat dibawah Peraturan 11(3) Peraturan yang sama. Ini bermakna had hukuman kesalahan merokok di tempat yang dilarang adalah jauh lebih tinggi daripada had hukuman meminum arak di tempat awam atau lelaki berpakaian wanita atau ‘crossdressing’.

Sebagai seorang Ahli Parlimen, YB Khalid Samad sepatutnya faham bahawa pindaan ini hanya akan menetapkan had maksima dan bukannya akan menentukan hukuman syariah. Peruntukan hukuman syariah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. DUN perlu meminda enakmen hukuman kesalahan syariah untuk meningkatkan had maksima hukuman setelah pindaan Akta 355 diluluskan. Jadi pindaan Akta 355 tidak memberi ‘blank cheque’ kepada Mahkamah Syariah.

6. Pemerkasaan Mahkamah Syariah yang diinginkan AMANAH adalah dari sudut peningkatan kecekapan pengurusan dan pentadbirannya dan juga peningkatan sokongan dari badan-badan sokongan terhadapnya. Ini adalah supaya Mahkamah Syariah boleh memainkan peranannya dengan lebih berkesan. Peningkatan kemampuan dicapai melalui latihan dan pendedahan serta penambahan human resource. Skim pembayaran gaji dan elaun hakim dan kakitangan dengan kadar yang lebih berpatutan perlu juga dipertimbangkan. Pada masa sama sokongan dari institusi sokongan seperti Polis dan semua majikan yang mempunyai pekerja Islam perlu dipertingkatkan.

Saya tidak faham di manakah pindaan Akta 355 akan bercanggah dengan perkara di atas.

Peningkatan kadar hukuman dan mempelbagaikan jenis hukuman juga perlu untuk menjamin keberkesanan pencegahan serta hukuman itu sendiri.

Inilah yang diperjuangkan melalui pindaan Akta 355. Ternyata PAN sngat keliru atau cuba mengelirukan orang ramai.

7. AMANAH maklum bahawa usaha pemerkasaan seperti yang dimaksudkan sedang diusahakan oleh pengurusan dan pekerja Mahkamah Syariah itu sendiri. AMANAH berpandangan bahawa segala usaha pemerkasaan mahkamah Syariah, termasuk melalui pindaan ke atas Akta 355, perlu diselaraskan dengan usaha yang sedang giat dilakukan pihak mahkamah syariah sendiri.

Mengikut undang-undang, pindaan ke atas Akta 355 mesti dibentangkan di Parlimen dan diluluskan oleh Ahli Dewan Rakyat dan bukannya boleh “dilakukan pihak mahkamah syariah sendiri”.

PENGGANTIAN KESELURUHAN SEKSYEN DUA

8. AMANAH telah turut bertanya sebab mengapa keseluruhan seksyen 2 perlu digantikan. Tanpa adanya jawapan mahupun penjelasan, maka AMANAH ingin menyatakan bahawa tidak ada keperluan untuk perenggan pertama Seksyen 2 Akta 355 diganti. Lebih-lebih lagi apabila perenggan baharu yang dicadangkan YB Marang teramat kabur bila dibandingkan dengan yang sediada.

Seksyen 2 memberi had hukuman Mahkamah Syariah dan jika ia tidak dipinda, had itu juga tidak boleh dinaikkan. Dan pindaan itu tidak akan ada makna jika Seksyen 2 tidak dipinda. Ayat ‘intro’ kepada Seksyen 2 pula dipinda kerana ia menggunakan istilah rukun-rukun agama Islam sedangkan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan perkataan ‘precepts’ bermaksud perintah-perintah agama dan bukan terhad kepada rukun Islam.

Perenggan sediada merujuk kepada pembentukkan Mahkamah Syariah melalui undang-undang yang digubal di peringkat Negeri, sambil perenggan yag dicadangkan YB Marang menggambarkan Mahkamah Syariah sebagai seolah-olahnya datang dengan sendirinya dan terus berkuasa ke atas ummat Islam. Ada yang berpandangan ayat-ayat seperti yang dicadangkan YB Marang boleh mendedahkan Mahkamah Syariah kepada fitnah kerana kedudukannya dalam kerangka struktur kenegaraan sendiri menjadi tidak jelas sepertimana juga haknya untuk menggubal dan menentukan undang-undang. Oleh kerana keperluan untuk menggantikannya tidak dijelaskan, maka risiko ini tidak wajar dihadapi.

Tiada perkataan di dalam pindaan kepada Seksyen 2 yang mengubah keadaan “pembentukkan Mahkamah Syariah melalui undang-undang yang digubal di peringkat Negeri” atau “mendedahkan Mahkamah Syariah kepada fitnah” kecuali sengaja difitnah oleh mereka yang menentang usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah.Telahpun disebut di dalam Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa undang-undang syariah mesti digubal di peringkat negeri dan bukannya di peringkat persekutuan seperti undang-undang sivil.

‘BLANK CHEQUE’ MELALUI SEKSYEN 2A

9. AMANAH telah juga bertanya mengenai kebijaksanaan seksyen 2A yang dicadangkan YB Marang yang memberikan ‘blank cheque’ kepada Mahkamah Syariah berhubung hukuman yang boleh dijatuhkan olehnya. Had yang ditetapkan adalah hanya sekadar “yang dibenarkan syariah” dan “selain dari hukuman mati”. Sekali lagi AMANAH terpaksa membuat keputusan tanpa penjelasan dan jawapan berhubung sebab mengapa pindaan sebegitu rupa dicadangkan.

Menurut pakar undang-undang dan perlembagaan, Dato’ Prof Mahamad Naser Disa, draf Seksyen 2 yang tidak mengikut format lama bukanlah bertujuan untuk memberi ‘blank cheque’ kepada Mahkamah Syariah, sebaliknya ia bertujuan untuk memberikan ruang kepada DUN untuk memperkenalkan hukuman lain selain daripada denda, penjara atau sebat.

Bagi pandangan AMANAH memberi ‘blank cheque’ dalam soal had dan bentuk hukuman kepada mahkamah syariah adalah kurang bijak. Ini adalah kerana sebahagian besar kesalahan yang akan dihukumkan adalah kesalahan di bawah hukuman takzir. Ini bererti ianya tidak ditetapkan oleh syariat sepertimana hudud dan oleh itu berbagai-bagai jenis dan kadar hukuman boleh dikenakan. Ini juga boleh mendedahkan mahkamah syariah kepada fitnah yang besar sehingga menjejas imej dan reputasinya.

Adalah satu fitnah menuduh bahawa pindaan kepada Seksyen 2A memberi ‘blank cheque’ kepada Mahkamah Syariah kerana bentuk dan had hukuman syariah digubal oleh DUN di peringkat Negeri dan bukannya oleh Mahkamah Syariah itu sendiri. Soalnya apakah YB Khalid Samad tidak yakin akan integriti Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman?

10. Ada yang mengatakan bahawa mahkamah sesyen juga diberi ‘blank cheque’ sedemikian rupa maka apa salahnya ianya turut diberi kepada mahkamah syariah? Umum mengetahui bahawa mahkamah sesyen terikat dengan Kanun Kesiksaan dan Kanun Acara Jenayah di mana jenis kesalahan serta had dan jenis hukuman telah dinyatakan secara jelas dan terperinci. Oleh itu adalah tidak benar bahawa mahkamah sesyen diberi ‘blank cheque’ sepertimana yang ingin diberi kepada mahkamah syariah melalui pindaan ini.

Menuduh pindaan Akta 355 sebagai “ingin diberi” ‘blank cheque’ “kepada mahkamah syariah melalui pindaan ini” adalah satu fitnah jahat oleh mereka yang tidak mahu undang-undang syariah diperkasakan di negara ini.

11. AMANAH bersetuju pindaan perlu dibawa ke arah pemerkasaan undang-undang mencegah jenayah syariah di bawah mahkamah syariah. Pada hakikatnya sekadar inilah apa yang dibawa YB Marang. Ia boleh dicapai dengan meningkatan had hukuman (3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan) kepada tahap yang lebih tinggi. Berapa hadnya hendaklah ditetapkan oleh satu jawatan kuasa yang dibentuk terdiri dari ketua-ketua hakim mahkamah syariah setiap negeri bersama golongan ilmuan di mana realiti masyarakat dan kemampuan mahkamah syariah serta jabatan-jabatan sokongannya turut diambil kira. Pada masa sama, bentuk hukuman yang menumpu kepada persoalan mendidik dan menanam semangat membantu masyarakat boleh juga ditambah melalui pindaan ini.

Apakah PAN terlalu keliru atau sengaja mencari sebab untuk menegakkan benang yang basah dalam usaha menjustifikasikan bantahan mereka terhadap pindaan Akta 355?

KESIMPULAN

12. Memandangkan AMANAH mengambil berat usaha memperkasakan Mahkamah Syariah, maka AMANAH mencadangkan supaya pindaan yang ingin dibawa YB Marang dipinda supaya mendatangkan pemerkasaan yang lebih menyeluruh dan bermakna. Ini memungkinkan sokongan padu dari Pakatan Harapan.

Hasil perbincangan bersama ramai pihak, termasuk wakil-wakil parti anggota PH, AMANAH berpandangan bahawa Usul pindaan itu hendaklah berbunyi seperti berikut :-

“Dewan ini menerima bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi dan syiar keadilan Islam. Oleh itu kecemerlangannya dalam memainkan peranannya, sepertimana ditentukan oleh perlembagaan, hendaklah sentiasa diusahakan. Ke arah itu adalah dicadangkan penubuhan satu jawatan kuasa khas yang terdiri dari Ketua Hakim Mahkamah Syariah setiap negeri, golongan cendiakawan dan ilmuan agama serta pegawai-pegawai berkenaan, untuk mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah untuk dipertimbangkan oleh Dewan ini. Langkah-langkah pemerkasaan ini hendaklah meliputi persoalan –

a) Meningkatkan kecekapan Mahkamah Syariah melalui peningkatan kemahiran para hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah dengan diperbanyakkan pendedahan dan latihan serta penambahan kakitangan ke tahap yang diperlukan

b) Meningkatkan lagi fahaman dan sokongan institusi dan jabatan-jabatan kerajaan serta pihak swasta terhadap peranan Mahkamah Syariah supaya memungkinkan ia memainkan peranannya dengan lebih berkesan

c) Mengkaji kembali skim gaji para hakim dan kakitangan mahkamah Syariah supaya ditetapkan skim yang lebih wajar dan berpatutan demi mengelak ‘brain drain’ dan menarik minat mereka yang berpotensi dan

d) Mengkaji keberkesanan had dan jenis hukuman berkaitan jenayah syariah di bawah Mahkamah Syariah seperti yang termaktub dalam Akta 355. Sekiranya ianya didapati kurang berkesan, maka jawatan kuasa khas ini hendaklah mencadangkan ianya ditingkatkan kepada satu had yang dianggap lebih berkesan sebagai satu usaha pencegahan dan pengajaran. Dalam menentukan had baharu, keadaan masyarakat dan kemampuan Mahkamah Syariah hendaklah diambil-kira. Jawatan kuasa khas ini diberi mandat untuk mengkaji corak hukuman lain, selain dari tiga jenis yang disebutkan di dalam Akta 355, yang bersifat mendidik dan membentuk akhlak, yang boleh turut dibenarkan sebagai corak hukuman yang boleh dijatuhkan mahkamah syariah”.

Dalam melakukan usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah ini, langkah-langkah yang ingin dicadangkan hendaklah selari dengan kehendak perlembagaan untuk elak dari berlakunya krisis perlembagaan.

Jawatan kuasa khas ini hendaklah bersifat ‘non-partisan’ di mana segala usaha yang sedang dan telah dilakukan,kalau ada, oleh ‘kerajaan-kerajaan pembangkang’ seperti di Negeri Kelantan, Terengganu (1999 – 2004), Kedah (2008 – 2013), Selangor dan Pulau Pinang, hendaklah turut dikaji dan diambil-kira.

 

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara

PAN seharusnya jujur dalam membuat kenyataan tentang isu pindaan Akta 355. Menurut Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal, cadangan PAN berhubung cara penambahbaikan sistem Mahkamah Syariah sebenarnya sudah pun dilaksanakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri.

“Misalnya Jawatankuasa Kerja Arahan Amalan Mahkamah Syariah yang dianggotai ketua hakim negeri dan jabatan berkaitan untuk melicinkan proses mahkamah. Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah pula untuk menggarap modul agar perbicaraan dapat dipercepatkan,” katanya kepada FMT.

Perkara yang dibangkitkan di bawah tajuk ‘kesimpulan’ adalah perkara sama dan telah dijawab di atas. Soalnya, apakah Khalid Samad sudah lupa bahawa pindaan Akta 355 telah dicadangkan oleh pemimpin parti pembangkang dan terdapat ramai ADUN dari parti pembangkang di dalam DUN di Malaysia? Kesimpulannya, Khalid Samad bagi pihak pemimpin PAN yang kesemuanya beragama Islam menentang pindaan Akta 355 dengan memberi berbagai sebab yang mengelirukan dan berbelit-belit supaya mereka tidak dianggap menentang usaha untuk memperkasakan undang-undang syariah di Malaysia  selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.

 

Kita wajib menuntut ilmu, jika kita kurang faham mengenai pindaan Akta 355, bertanyalah kepada mereka yang memahami perkara ini dan janganlah kita terpedaya oleh agenda musuh. Malu bertanya sesat jalan. 

Related Post:

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

39 thoughts on “Jawapan Kepada Kenyataan Mengelirukan Khalid Samad Tentang Pindaan Akta 355”

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.