Ucapan Tun Abdul Hamid Mohamad, Tokoh Maal Hijrah 1437

16 10 2015

Below is the speech by the Tokoh Maal Hijrah 1437, former Chief Justice Tun Abdul Hamid Mohamad.

Hijrah bukan berkenaan perjalanan. Setiap hari beribu orang berjalan dengan berbagai jenis kenderaan dari Mekah ke Madinah. Tidak ada sesiapa yang memperingatinya. Hijrah bukan hanya berkenaan perpindahan. Manusia berpindah dari Mekah ke Madinah sepanjang zaman. Tidak ada sesiapa yang memperingatinya.
Apakah yang membezakan hijrah Rasul Allah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dari Mekah ke Madinah 1437 tahun dahulu sehingga menyebabkan Khalifah Umar Ibn Al-Khattab menjadikannya permulaan tahun pertama Hijrah yang diperingati setiap tahun sehingga ke hari ini?
Yang membezakannya ialah, ia adalah perpindahan satu kumpulan kaum Mislimin yang berada di ambang kemusnahan untuk bersatu dengan satu lagi kumpulan kaum Muslimin untuk sama-sama menangkis serangan-serangan musuh dan mempertahankan agama Islam. Mereka bukan sahaja berjaya berbuat demikian, tetapi berjaya pula menubuhkan sebuah negara yang menjadi nukleus perkembangan agama dan tamadun Islam ke seluruh dunia hingga ke hari ini. Itulah perbezaannya.
Hijrah berlaku hanya sekali. Ceritanya juga sama. Mengulangi ceritanya setiap tahun mungkin membosankan. Tetapi, ada satu perkara yang senentiasa segar berbangkit daripada peristiwa itu. Ianya ialah pengajaran yang boleh diambil daripadanya. Itulah sebabnya mengapa majlis ini diadakan. Jika tidak ia tidak lebih daripada mendengar cerita penglipur lara.
Sama seperti umat Islam di Mekah 1437 tahun dahulu, hari ini, umat Islam di Malaysia berada dalam satu keadaan yang sangat membimbangkan. Ia bukan kerana bilangan mereka kecil, tetapi kerana mereka berpecahbelah menyebabkan kedudukan mereka lemah. Ini adalah reality yang kita mesti sedari. Tidakkah patut kita mengambil pengajaran daripada hijrah yang kita peringati hari ini?
Saya percaya bahawa ada sebabnya mengapa Allah s.w.t. membolehkan saya bercakap semula walaupun setelah kehilangan suara sebanyak dua kali. Saya percaya bahawa ada sebabnya mengapa Allah s.w.t. memberi peluang kepada saya untuk berucap di perhimpunan ini dan ke seluruh negara pada hari ini. Maka, sebagai tanda syukur, saya akan memanfaatkannya, walaupun hanya dengan sebelah pita suara sahaja yang berfungsi.
Maka, dengan ini, saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin kumpulan-kumpulan umat Islam yang terbesar di Malaysia, tidak kira sama ada mereka berada dalam kerajaan, pembangkang atau NGO, supaya mengikuti contoh yang dilakukan oleh Rasul Allah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya 1437 tahun dahulu itu dan melakukan satu “hijrah” untuk menyatupadukan semula umat Islam di negara ini dengan tujuan untuk mengelak malapetaka yang mungkin berlaku kepada agama dan umat Islam di negara ini. Untuk itu, mereka hendaklah menumpukan perhatian kepada isu yang lebih besar yang mengancam umat daripada kepentingan semasa diri dan kumpulan dan mencari jalan untuk bergabung atau sekurang-kurangnya berkerjasama.
Semua umat Islam di Malaysia, tidak kira pemimpin atau yang dipimpin, juga hendaklah menumpukan perhatian kepada persamaan yang ada pada mereka, bukan kepada perbezaan atau salah yang sengaja dicari-cari atau diada-adakan. Mereka hendaklah menumpukan fikiran dan tenaga untuk memperkuatkan dan memajukan umat.
Kita bukan hendak mengambil hak orang lain. Kita hanya mempertahankan hak kita seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, semua rakyat Malaysia, tidak kira apa keturunan dan agamanya, hendaklah menghormati hak kumpulan lain yang termaktub dalam Perlembagaan dan bersama-sama membina nagara kita atas asas yang sedia ada seperti mana yang kita telah lakukan semenjak Merdeka. Malaysia mempunyai cukup untuk semua, melainkan yang tamak. Mengganggu kedudukan itu adalah menempah bencana. Akibatnya, semua pihak akan rugi.
Bagi umat Islam, dalam keadaan dunia Islam yang mengecewakan hari ini, kita sepatutnya memandang kehadapan dan mengambil inisiatif untuk menerajui kepimpinan umat Islam sejagat. Kita tidak sepatutnya merasa malu untuk berfikir demikian. Sebenarnya, Malaysia telah pun berada di hadapan dalam banyak perkara. Malaysia adalah contoh sebuah negara Islam moden, demokratik, wasatiyyah, aman, tenteram dan maju dalam segala bidang termasuk pentadbiran, ekonomi, pelajaran, kesihatan dan lain-lain, di zaman ini. Malaysia berada di hadapan dalam pencapaian maqasid al-syari’ah. Malaysia berada di hadapan dalam kewangan Islam, industry halal dan lain-lain lagi. Kita hanya perlu jatidiri dan melebihkan pencapaian kita.
Tetapi, untuk itu, umat Islam di Malaysia perlulah bersatu dan disatukan. Sesungguhnya, tidak ada sebab yang munasabah mengapa kita patut berpecahbelah. Tuhan kita satu. Agama kita satu. Tujuan kita sama. Perbezaan pendapat dalam melaksanakan sesuatu perkara berlaku di mana-mana. Ia tidak patut dibesar-besarkan sehingga menjadi alasan berpecahbelah. Perpecahan hanya merugikan umat. Dalam keadaan yang kita hadapi sekarang, kita sepatutnya menumpukan perhatian kepada menyelamatkan kedudukan umat Islam dan agama Islam di negara ini, bukan kepada pelaksanaan sesuatu perkara tertentu. Jika kedudukan kita menjadi lemah, harapan untuk melaksanakan perkara yang sama itu juga akan hancur. Nampaknya, perselisihan pendapat yang ada sekarang hanyalah mengenai pelaksanaan satu perkara. Jika semua pihak jujur dan rasional, mengutamakan apa yang patut diutamakan, saya percaya perselisihan pendapat itu akan dapat diatasi tanpa mengetepikan sesuatu, sebaliknya hanya dengan mengutamakan apa yang patut diutamakan berdasarkan keadaan yang kita hadapi hari ini.
Sekian. Terima kasih.
tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my; https://tunabdulhamid.me


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: